Home » » Polis D9 Hilang Pistol Dalam Kemalangan

Polis D9 Hilang Pistol Dalam Kemalangan

Written By Unknown on 28/08/2013 | 1:00 pm

Seorang lagi anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kehilangan senjata api selepas dia ditemui cedera di kepala dalam satu kemalangan di Seksyen 20, di sini, awal pagi kelmarin.
Kejadian berlaku pada jam 5.45 pagi itu menjadikan ia kes kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan membabitkan kehilangan senjata api milik anggota cawangan sama, sekaligus membayangkan golongan itu seakan menjadi sasaran pihak tertentu.

Bagaimanapun, dalam kejadian terbaru, polis belum mengesahkan sama ada senjata itu dilarikan atau hilang selepas mangsa yang berusia 40-an ditemui melambai-lambai meminta tolong kepada orang ramai sebelum seorang lelaki yang melihatnya cuba membantu.
Sejurus menghampiri, lelaki itu mendapati mangsa cedera manakala motosikal serta kepalanya dipenuhi darah.

Sumber berkata, lelaki itu menghubungi polis sebelum dia memaklumkan kejadian kepada anggota yang bertugas di Pejabat D9 IPK Selangor yang bergegas ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan awal.

Menurutnya, sebaik pasukan itu tiba, pihak berkuasa mendapati lelaki berkenaan adalah seorang anggota dari D9 dan ketika ditemui dia dalam keadaan separuh sedar dan tidak dapat menceritakan apa yang berlaku.
“Ketika itu, kami menjalankan pemeriksaan pada kenderaan dan badan mangsa serta kawasan sekitar kerana setiap anggota biasanya dibekalkan senjata api beserta satu kelopak peluru, namun tiada sebarang senjata ditemui,” katanya.

Difahamkan, polis akan menggunakan alat pengesan besi di tempat kejadian bagi mengesan senjata api berkenaan yang berkemungkinan terjatuh sewaktu kemalangan berlaku.
Menurut sumber, siasatan dijalankan sama ada wujud kemungkinan mangsa menyimpan senjata api berkenaan di tempat lain namun polis masih menunggu keadaannya yang masih mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pulih sebelum keterangan daripadanya boleh diambil.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata, anggota polis mengalami kecederaan di kepala dan lutut, manakala motosikal yang ditunggangnya rosak teruk.-hmetro
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger