“Datuk Shuhaimi Baba tidak boleh anggap filem Tanda Putra sama seperti filem pontianak yang beliau hasilkan sebelum ini,” kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Kit Siang berkata, Shuhaimi sebagai pengarah filem Tanda Putra sepatutnya lebih prihatin tentang keadaan negara semasa membuat filem berkenaan tragedi 13 Mei 1969 tersebut.
“Shuhaimi seharusnya mempertimbangkan dengan serius nasihat saya agar beliau tidak menganggap filem Tanda Putra dalam genre “filem hantu” seperti filem Pontianak beliau.
“Beliau seharusnya lebih prihatin tentang keadaan negara ini khususnya berkenaan generasi masa depan negara, mempertahankan dan meningkatkan hubungan baik antara kaum serta keamanan dan keharmonian dalam negara,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Kit Siang seterusnya mendesak Shuhaimi menyenaraikan babak rekaan berkenaan tragedi 13 Mei 1969 yang dipaparkan dalam filem Tanda Putera kerana dikhuatiri boleh memburukkan hubungan antara kaum.
Tegas beliau, tindakan itu perlu dilakukan kerana terdapat babak dipaparkan boleh menimbulkan salah-faham dan mencetuskan kecurigaan, kebencian dan ketegangan antara kaum seperti babak sekumpulan pemuda Cina kencing pada tiang bendera yang mengibarkan bendera Selangor.
Menurutnya, filem Tanda Putra turut menyelitkan babak panggung tiba-tiba digelapkan dan terdapat tulisan Cina di layar meminta para penonton Cina meninggalkan pawagam sebelum penonton yang masih tinggal dalam pawagam itu dibunuh.
“Saya telah mempersoalkan kesahihan peristiwa kencing berkenaan sebelum ini. Apakah peristiwa itu benar-benar terjadi atau ia merupakan khayalan pembikin filem (Shuhaimi),” dakwanya. – myewshub.my
Post a Comment