Home »
Politik
» Sidang Dun Selangor : Selangor Terus Gagal Sediakan Rumah Murah
Sidang Dun Selangor : Selangor Terus Gagal Sediakan Rumah Murah
Barisan Nasional (BN) Selangor menggesa kerajaan negeri mengkaji semula harga rumah di Selangor, selain memperincikan dasar dan polisi perumahan yang sedia ada.
Menurut Adun Sungai Panjang, Budiman Zuhdi, jika ia tidak dilihat secara teliti, ia akan membebankan rakyat yang kurang mampu, termasuk golongan belia yang baru mula bekerja.
"Kita zahirkan kebimbangan berdasarkan track-record yang sedia ada tak kondusif kepada anak-anak muda yang tak berkemampuan nak beli rumah. Apatah lagi dalam sidang tadi mereka tak langsung kata nak kawal harga rumah. Fikir jika harga rumah tak dikawal, bagaimana masa depan mereka yang tak mampu?"
"Dan jika kerajaan negeri tidak mengawal harga rumah dan iamembimbangkan kerana jika kawalan tidak dibuat berdasarkan 'willing seller willing buyer' pada saya bagaimana masa depan mereka berpendapatan kecil dan anak-anak muda yang baru mula bekerjaya nak beli rumah?," katanya yang ditemui pada sidang media selepas Sidang DUN pagi tadi.
Budiman dalam masa yang sama turut mendakwa, kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat itu tidak mengamalkan dasar mesra projek rumah mampu milik dan kos rendah secara sepadan dengan konsepnya.
Melihat kepada pencapaian pada penggal lalu (2008 - 2012), beliau bimbang jika dasar dan polisi perumahan baru yang dilancar pada September depan tidak membawa apa-apa penambahbaikan terutama dari segi harga kerana ia terus menekan golongan tidak mampu memiliki rumah.
"Mereka akan ubah dasar perumahan sedia ada kepada dasar perumahan Selangorku yang akan dilancar pada September. Kebimbangan saya jika dasar sedia ada tidak mesra kepada rumah mampu milik dan kos rendah jadi bagaimana masa depan terhadap dasar pada masa akan datang."
Selain itu, Budiman turut mempersoalkan projek perumahan mampu milik dan kos rendah yang tidak dijalankan di Hulu Selangor dan Sabak Bernam, selain bilangan kecil projek sedemikian yang dibangunkan di Sepang dan Kuala Langat.
"Bila kita melihat data-data yang diberikan, kita menzahirkan rasa kebimbangan apabila 2 daerah utama iaitu Hulu Selangor dan Sabak Bernam tiada langsung dibina rumah kos rendah sejak 2008 hingga kini. Jadi macam mana masa depan mereka yang berpendapatan rendah sekiranya rumah-rumah kos rendah ini tidak dibina di sana."
"Dan membimbangkan saya di Sepang hanya lebih kurang 66 rumah kos rendah dibina. Macam mana sebuah daerah berdekatan dengan Putrajaya hanya ada jumlah itu sahaja? Di daerah Petaling hanya 6,347 rumah kos rendah dibina. Jika diagihkan mengikut parlimen tentu lebih kecil dan ia tidak cukup terhadap keperluan yang ada sekarang."
"Saya melihat pada dasar sedia ada ni pun tak mampu nak mesra anak muda jadi macam mana dasar baru itu? Sebab dalam tempoh 5 tahun pun di Sabak Bernam dan Hulu Selangor pun mereka tak bina rumah kos rendah. Jadi dengan dasar diwarisi dari BN yang mesra itu mereka tak bina, jadi macam mana seterusnya mereka nak laksanakan?," ujarnya.
Berdasarkan maklumat yang diberi kerajaan negeri, sebanyak 6,347 unit rumah kos rendah dibina di Petaling, Klang (4,595), Gombak (1,127), Hulu Langat (1,679), Kuala Selangor (1,153) selain 66 dan 38 unit masing-masing untuk Sepang dan Kuala Langat.
Di dalam Manifesto Pakatan Rakyat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mereka menjanjikan sebanyak 150,000 rumah mampu milik dalam kategori kos rendah (bawah RM 75,000) dan kategori kos sederhana (antara RM 150,000 hingga RM 250,000) akan dibina dalam tempoh penggal pertama pentadbiran.
RM 5 bilion akan dilabur Pakatan Rakyat dalam tahun pertama untuk membina rumah mampu milik, diikuti peruntukan RM 2 bilion dari tahun kedua hingga kelima.
Post a Comment