ALOR SETAR - Seorang pengusaha kilang ikan di Kuala Kedah mendakwa dirinya dikasari anggota Majlis Perbandaran Alor Setar (MBAS) dalam satu operasi menangkap anjing terbiar yang dilakukan, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, Ang Han Inn, 27, yang berada di premis kilangnya didatangi lapan anggota MBAS termasuk Pegawai Jabatan Haiwan yang menaiki sebuah van MBAS.
Han Inn berkata, sebaik sahaja tiba anggota berkenaan terus melemparkan pukat dan berjaya merampas seekor anjing miliknya.
Menurutnya, dia cuba menahan tindakan anggota MBAS terbabit berikutan anjing itu merupakan peliharaannya tetapi tidak dihiraukan.
“Saya tidak berpuas hati dengan tindakan mereka. Jadi saya cuba berbincang supaya mereka tidak menangkap anjing itu. Saya beritahu mereka itu anjing saya dan jika ada silap boleh maklumkan kepada saya terlebih dahulu.
“Sepatutnya jika saya buat salah mereka perlu bagi amaran atau notis. Mereka tidak boleh bertindak begitu kerana anjing itu bukan anjing buangan dan saya bertanggungjawab, tetapi mereka tidak hirau,” katanya ketika ditemui di Pusat Komuniti Parti Keadilan Rakyat Parlimen Alor Setar, di sini, semalam.
Hadir sama Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung.
Dia berkata, pihak MBAS berkenaan menyuruhnya membuat laporan polis sekiranya tidak berpuas hati dengan tindakan itu.
Katanya, dia terus menghubungi pihak polis untuk sama-sama berbincang tetapi sekumpulan anggota MBAS itu mahu terus beredar.
“Ketika mereka mahu keluar daripada kawasan premis kebetulan ayah saya sampai dan menghalang kenderaan mereka. Bagaimana pun mereka tetap mahu beredar sebelum sempat polis datang.
“Kami cuba halang mereka dengan menahan van sekuat tenaga. Tetapi tidak dihiraukan malah merempuh saya, nasib baik saya tidak jatuh dan terus bertindak merampas kunci kenderaan mereka,” katanya.
Sejurus selepas itu, Han Inn berkata, pihak polis sampai dan menenangkan keadaan.
“Kemudian polis membenarkan mereka pergi dan meminta kami membuat laporan mengenai kejadian itu sekiranya tidak berpuas hati.
“Tindakan itu sepatutnya tidak dilakukan oleh mereka yang bekerja dengan kerajaan. Mereka sepatutnya mengikut prosedur sekali pun ingin menjalankan tugas,” katanya.
Abang mangsa, Ang Han Ghee, 32, berkata, kejadian itu merupakan kali kedua berlaku kepada mereka membabitkan tindakan MBAS menangkap dan membunuh anjing mereka.
“Kalau mereka tangkap anjing yang berada di luar kawasan premis tak mengapa, tetapi ini dalam kawasan premis.
“Mereka juga tak tunjuk waran tangkap atau notis sebelum ini dan malah bersikap kasar,” tegasnya.
Tambah Han Ghee lagi, mereka mempunyai cukup bukti yang menunjukkan kelakuan anggota MSAS berkenaan dan tindakan melalui undang-undang akan diambil.
“Kita boleh lihat sendiri bagaimana mereka memperlakukan ke atas adik dan ayah saya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Saya juga dihubungi seseorang dari MBAS yang mengatakan anjing kami sudah dibunuh,” katanya.
Sementara itu, Hsiao Leung berkata, beliau kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh anggota MBAS terbabit.
Katanya, pihak MBAS perlu memberi perhatian terhadap perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap anggota terbabit.
“Sepatutnya sebagai anggota penguatkuasa, mereka perlu bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Jadi saya menggesa supaya pihak atasan MBAS siasat dan mangsa akan mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi yang dialami,” katanya.-sinar
Aakj : anda nilai sendiri lah..cuma aakj dan rakyat Malaysia nak tahu..kalau dah anjing tu milik dia maka mangkok ni kena tunjuk la lesen anjing..!!
Post a Comment