NENASI – Tiga nelayan terkejut apabila melihat seekor ikan pari bersaiz gergasi tersangkut pada pukat mereka ketika turun ke laut petang kelmarin.
Seorang nelayan terlibat yang dikenali Che Deraman, 60an berkata, dia bersama dua lagi rakannya turun ke laut seperti biasa awal pagi kelmarin untuk mencari rezeki.
Menurutnya, jumlah hasil tangkapan pada hari berkenaan adalah seperti biasa sahaja dan mereka turut mengambil masa untuk berehat sebentar ketika berada di laut Nenasi manakala pukat ikan telah diturunkan bagi menahan dan menangkap hasil laut.
‘Kami kemudiannya memeriksa kedudukan dan menaikkan pukat untuk melihat hasil yang diperoleh, namun terkejut selepas melihat seekor pari yang amat besar dan berat berada di dalam pukat.
“Kabel yang digunakan untuk mengangkat pukat membantu kesukaran kami menaikkan pari tersebut namun tetap bimbang kerana saiznya yang amat besar mampu menyebabkan kerosakan kepada pukat dan kabel,” katanya ketika menimbang berat pari berkenaan di jeti Nenasi, di sini.
Dia berkata, struktur isi ikan pari gergasi ini mungkin jauh lebih keras atau kenyal berbanding ikan lain namun ia menepati cita rasa dan mendapat permintaan tinggi pembeli dari negara jiran iaitu Singapura.
“Ini tangkapan pari yang paling besar diperoleh kerana sepanjang menjadi nelayan sejak lebih 30 tahun lalu, saya juga sering memperoleh tangkapan ikan pari tapi selalunya berat ikan mencecah 100 kilogram lebih sahaja.
“Harga ikan ini turut dikira melalui berat kilogram namun ia bersesuaian dengan tawaran di antara pembeli dan nelayan atau peraih yang bersetuju untuk menjualnya dengan harga semasa,” katanya. -Sinar Harian
No comments:
Post a Comment