Home » » Kelantan : Lelaki Mengamuk Nak letup Pesawat Di Airport Di Tahan

Kelantan : Lelaki Mengamuk Nak letup Pesawat Di Airport Di Tahan

Written By Azmy Klanajaya on 01/10/2014 | 11:37 am




KOTA BHARU - Penerbangan sebuah pesawat penumpang yang sepatutnya berlepas pada jam 9.45 malam kelmarin gempar, gara-gara tindakan seorang penumpang berkelakuan agresif dan mengugut mahu meletupkan pesawat itu, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, di sini.

Dalam kejadian itu, suspek berusia 29 tahun itu dipercayai berang apabila anggota polis yang bertugas di pintu masuk balai berlepas menegurnya kerana memakai topeng dan mengarahkan lelaki itu menanggalkannya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, lelaki itu mengherdik anggota polis dan memarahi tindakan anggota itu.

“Selepas memarahi anggota yang menegur dirinya, suspek mengeluarkan ugutan jika sesiapa yang naik kapal terbang bersamanya pada malam itu, dia akan letupkan kapal dan hilangkan mereka seperti MH370.

“Disebabkan ugutan yang dibuat lelaki itu, dia terpaksa ditahan berdasarkan undang-undang penerbangan dan sekiranya mana-mana penumpang yang mengeluarkan ugutan berbaur jenayah seperti itu, perlu dikeluarkan daripada penerbangan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Melalui siasatan yang dilakukan, suspek yang dipercayai berasal dari Pendang, Kedah datang ke Kelantan untuk mengikuti sebuah majlis di negeri ini,” katanya ketika di hubungi, semalam.

Rohaimi berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, akhirnya suspek berjaya ditenangkan oleh salah seorang anggota dan mengakui menaiki pesawat berkenaan untuk berlepas ke Kuala Lumpur.

Rohaimi berkata, suspek mengakui pernah menjalani rawatan psikiatri sebelum ini.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam (kelmarin) dan selepas menjalani rawatan di bahagian psikiatri, doktor sahkan suspek menghadapi masalah mental dan buat masa ini dia ditahan di wad psikiatri untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan,” katanya.


SH
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger