Home » » CCTV : Suspek Bom Bukit Bintang Dikenalpasti

CCTV : Suspek Bom Bukit Bintang Dikenalpasti

Written By Unknown on 18/10/2014 | 12:32 am

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti suspek utama, seorang lelaki berusia 40-an, yang dipercayai terlibat dalam insiden serangan bom tangan di hadapan sebuah kelab malam di Sun Complex, Bukit Bintang pada 9 Okt lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata ini berdasarkan kepada imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun hasil pengimejan rakaman CCTV, sekurang-kurangnya dua lelaki yang belum dikenal pasti, disyaki terlibat dalam melempar bom tangan ke arah sasaran dalam insiden itu.

"Ekoran penemuan imej itu, pihak forensik polis mempergiatkan usaha termasuk mendapatkan bantuan agensi lain bagi menganalisis imej tersebut," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tajudin berkata maklumat dan imej suspek akan dihebahkan kepada media dalam tempoh terdekat.

Berhubung rakaman percakapan lima lelaki yang ditahan semalam, beliau berkata empat daripadanya merupakan pengawal peribadi di kelab malam itu manakala seorang lagi belum dapat disahkan identitinya.

Semalam, polis menahan lima lelaki berumur antara 25 dan 46 tahun di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur bagi membantu siasatan dan kesemua suspek ditahan reman sehingga Isnin ini.

"Selain tumpuan terhadap imej berkenaan, polis sedang berusaha mengesan pengunjung pusat hiburan pada malam kejadian bagi membantu siasatan," katanya.

Pada 9 Okt lepas, seorang joki kereta, Tiong Kwong Yie, 36, maut dan 12 yang lain termasuk pelancong asing, cedera dalam serangan bom tangan dipercayai berkaitan dengan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap.

Dalam perkembangan lain, polis telah menyelesaikan tujuh kes samun bersenjata api sekitar 2011 dengan tertangkapnya dua lelaki tempatan di Setapak dan Jalan Klang Lama pada 2 dan 11 Okt lepas.

Tajudin berkata dalam serbuan pertama pada 2 Okt, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah apartmen di Setapak dan menemui 12 peluru hidup, dadah seberat dua gram dan sebuah motosikal curi.

"Berikutan penahanan lelaki itu, polis berjaya mengesan seorang lagi rakan suspek berusia 32 tahun di sebuah pusat snuker di Jalan Klang Lama, Selangor pada 11 Okt.

"Hasil soal siasat telah membawa kepada rampasan sepucuk pistol jenis Revolver .38 Smith & Wesson bersama sebutir peluru hidup di sebuah rumah di Kampung Cheras Baru (Kuala Lumpur)," katanya.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger