Home » » BAM Masih Ketat Mulut Untuk Dedah Siapa Pemain Badminton Yang Gagal Ujian Dadah

BAM Masih Ketat Mulut Untuk Dedah Siapa Pemain Badminton Yang Gagal Ujian Dadah

Written By Unknown on 27/10/2014 | 9:39 am



Aakj : Kenapa kalau kena pada pemain lain cepat je Kementerian Sukan keluarkan nama? Saja Aakj nak tanya...is it double standard?


SUBANG – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya membuka mulut dengan mengesahkan salah seorang pemain di bawah naungannya gagal dalam ujian doping.

Bagaimanapun BAM terus bermain ‘teka-teki’ berhubung siapakah pemain yang dimaksudkannya selagi belum menerima pengesahan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Dalam satu mesyuarat di sini semalam, BAM mengakui menerima makluman BWF pada 2 Oktober lalu bahawa pemain badminton ber­kenaan telah gagal dalam ujian dadah selepas sampel air kencingnya didapati mengandungi bahan terlarang iaitu dexamethasone.

Bahan larangan itu biasanya digunakan bagi membantu proses pemulihan seseorang atlet.

Sehubungan itu, BAM bersedia mendedahkan nama altet terbabit sejurus selepas mengetahui ujian sampel B yang akan dijalankan antara 4 atau 5 November di Oslo, Norway.

Dalam pada itu, Timbalan Pre­siden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria memberi jaminan bahawa pihaknya akan sentiasa menjadi tulang belakang kepada pemainnya dan sanggup melakukan apa sahaja.

“Tiada siapa yang bersalah sehingga dibuktikan. Bukan mahu mencari kesalahan, tetapi pokok pangkalnya, atlet itu perlu mendapat sokongan sepenuhnya daripada kami.

“Maka, kami sebulat suara bersetuju membentuk satu ahli jawatankuasa kerja dalam masa terdekat bagi membantu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk menyelesaikan proses berhubung masalah yang kita hadapi hari ini.

“Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr. Ramlan Aziz telah dipanggil tadi bagi memberikan penjelasan kepada ahli majlis bagaimana proses-proses ini akan dilaksanakan.

“Kita akan cuba memastikan bahawa isu ini dapat ditamatkan de­ngan baik,” katanya.

Isnin lalu, Khairy mengesahkan seorang atlet berprofil tinggi negara telah gagal ujian dadah, namun enggan mendedahkan namanya.

Sejak itu, timbul spekulasi yang bertiup kencang mengaitkan pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei gagal dalam ujian doping selepas aksi separuh akhir Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (PBKL) berkata, penubuhan jawatankuasa terbabit akan terdiri daripada 15 ahli dengan pelbagai latar belakang untuk dijadikan sebagai rujukan.

“Isu ini sangat bahaya jika didedahkan tanpa bukti yang kukuh dan kami akan meneliti setiap sudut.

“Sekurang-kurangnya, dia layak untuk berada bersama kami dan juga negara. Dia adalah sebahagian daripada keluarga kami dan BAM akan berjuang sehingga ke penghabisan,” katanya.

Setakat ini, satu-satunya pemain badminton Malaysia yang pernah gagal dalam ujian doping adalah beregu wanita, Lee Siew Mei pada Sukan SEA 1995 Chiang Mai, Thailand

Pemain yang ketika itu berusia 17 tahun disahkan mengambil bahan terlarang pseudo-ephedrine sekali gus digantung selama dua tahun.

Dua tahun penggantungan adalah hukuman minimum yang dikenakan atas kesalahan positif dadah.

- utusan
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger