PKR hari ini mendesak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan ekoran kebocoran kertas Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlaku baru-baru ini.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata, Muhyiddin yang juga menteri pelajaran perlu bertanggungjawab ke atas isu tersebut dengan meletakkan jawatan supaya dapat dilihat sebagai komitmen menjadikan kerajaan lebih jujur dan berintegriti.
"Muhyiddin perlu meletakkan jawatannya atas isu kebocoran kertas peperiksaan UPSR. Dan juga atas kesemua isu kebocoran soalan ujian yang berlaku sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
"Meskipun terdapat sesetengah pihak yang sememangnya bersalah atas kejadian ini, menteri pendidikan perlu menjadi contoh dengan meletakkan jawatan bagi menunjukkan yang kita serius mengenai kejujuran dan intergriti," kata ahli Parlimen Ampang itu dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan kes kebocoran kertas peperiksaan UPSR, empat individu ditahan, termasuk guru besar sebuah sekolah di Pulai Pinang dan seorang ejen insurans dari Lumpur.
Kesemua suspek disiasat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) berhubung kebocoran kertas soalan UPSR.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Assistant Commissioner Gan Kong Meng berkata, 12 individu ditahan untuk membantu siasatan.
Kertas soalan matapelajaran Sains dengan kod 018, 028 dan 038, yang dijadualkan pada Khamis ditunda berikutan kebocoran berkenaan.
Pada Khamis, kertas soalan mata pelajaran bahasa Inggeris dengan kod 014/1 dan 014/2 juga didapati bocor sekaligus mencetuskan kemarahan orang ramai.
Muhyiddin dan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh juga mengeluarkan permohonan maaf atas kebocoran itu dan pada Jumaat mengarahkan penggantungan serta-merta Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak serta timbalannya Dr Wan Ilias Wan Salleh.
Kebocoran itu mengakibatkan 473,175 pelajar Darjah 6 di seluruh negara mengambil semula kertas soalan tersebut pada 30 September.
Zuraida berkata cubaan untuk menipu di peringkat UPSR akan menimbulkan masalah lebih besar sekiranya ia tidak ditangani hingga ke akar umbi.
Katanya bagi pelajar mendapatkan gred yang baik serta memperolehi pendidikan tinggi ia boleh dilakukan tanpa perlu menggadaikan nilai moral.
"Perkara yang amat memalukan apabila terdapat pihak yang cuba mengambil jalan keluar hanya untuk lulus peperiksaan.
"Kita tidak mahu dengan kejadian ini secara tidak langsung mengajar generasi muda mengambil jalan keluar dengan cara mudah," katanya.
Post a Comment