Home » » Menteri Besar Selangor: PKR Nak Wan Azizah Juga !!!!

Menteri Besar Selangor: PKR Nak Wan Azizah Juga !!!!

Written By Unknown on 20/09/2014 | 12:28 am



Suara.TV :
Petaling Jaya – Dalam kehangatan pelbagai berita tersebar mengenai pelantikan menteri besar Selangor baharu yang akan dibuat Selasa ini, PKR mengambil keputusan memohon mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon pilihan mereka.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail malam ini, beliau berkata keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Biro Politik PKR yang dihadiri semua pimpinan kanan hari ini.

“PKR mengambil pendirian kedudukan sokongan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor seperti yang ternyata sebelumnya menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berubah.

“Oleh demikian, PKR merafak sembah memohon limpah perkenan Tuanku untuk mengadap bagi mendapatkan nasihat dan ihsan Tuanku dalam keadaan sokongan majoriti adalah jelas dan tidak berubah,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut sumber SuaraTV sebelum ini Azmin dikatakan bakal mengangkat sumpah sebagai menteri besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah hilang sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Malah Bernama, dalam laporannya mengenai majlis angkat sumpah jawatan menteri besar baru Selasa depan, juga menyebut Azmin mungkin pilihan istana tetapi setiausaha sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani enggan mengesahkan perkara itu.

Walaupun tidak mahu membuat spekulasi mengenai siapa yang akan bakal dilantik menerajui negeri ini, seorang pemerhati politik veteran yang dilihat mempunyai hubungan rapat dengan pihak istana, bersetuju bahawa Azmin mungkin calon terbaik untuk tugas tersebut.

“Satu perkara yang pasti, Wan Azizah tidak akan menjadi menteri Besar itu,” katanya.

Istana Selangor sebelum ini mengesahkan Majlis Angkat Sumpah akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang dekat sini.

Kenyataan daripada Istana Selangor itu bakal menandakan berakhirnya krisis berpanjangan jawatan Menteri Besar Selangor.

Beberapa blog sebelum ini mendakwa Timbalan Pesuruhjaya (1) PAS Selangor, Sallehen Mokhyi antara calon yang disebut-sebut bakal dilantik menjawat jawatan tersebut.

Namun beliau yang dikerumuni wartawan sebaik sahaja selesai berucap membahaskan ucapan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar PAS ke-60 di Parit Raja, hari ini menafikan perkara tersebut.

“Bukan, bukan (saya). Kita tidak tahu lagi (nama Menteri Besar Selangor yang baharu). Saya tidak ada maklumat lagi. Isnin pagi atau Selasa akan dimaklumkan. Yang pasti bukan saya,” katanya.

Sallehen juga berkata pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu diharap menjadi jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi kemelut jawatan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Kita berharap ini adalah jalan penyelesaian yang terbaik, sebab kita tiada forum atau ruang yang terbaik kecuali rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat terima pilihan Istana (Selangor),” katanya.

Selain beliau, turut dinamakan sebagai calon pilihan PAS untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar ialah Dr Ahmad Yunus Hairi dan Iskandar Abdul Samad, kedua-duanya exco negeri.

Iskandar juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger