Home » » Koyak & Baling Surat Saman Trafik, Samseng Taik Minyak Diberkas Polis

Koyak & Baling Surat Saman Trafik, Samseng Taik Minyak Diberkas Polis

Written By Azmy Klanajaya on 05/09/2014 | 6:48 pm




Batang Kali: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi bertindak biadab apabila mengoyak notis saman diterima sebelum mencampakkan kertas itu ke arah anggota polis yang menahannya di Jalan Genting menghala Ulu Yam di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, suspek berusia 23 tahun didapati melakukan kesalahan mengubah suai kenderaan tanpa kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Pegawai Turus Trafik Bukit Aman Superintendan Bon Jeen Ahrom berkata, lelaki terbabit yang menunggang motosikal Kawasaki turut menghambur kata-kata kesat kepada anggota polis bertugas.

“Sejurus mengoyakkan kertas saman itu, lelaki terbabit terus memecut motosikalnya sebelum berpatah balik disebabkan tertinggal MyKad dan lesen.

“Ketika itulah suspek diberkas sebelum diarah menjalani ujian air kencing. Hasil ujian mendapati suspek positif mengambil dadah ganja,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk siasatan lanjut.

“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 30-an di kawasan sama selepas mendapati memandu kereta curi.

“Hasil semakan mendapati suspek adalah penjenayah dikehendaki. Kereta curi Proton Wira dipandu suspek turut dihantar ke IPD Hulu Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.Dalam operasi bersepadu itu, sebanyak 1,036 saman dikeluarkan di empat lokasi berasingan di Terminal Bas Genting, Jalan Gombak menuju susur Genting, Jalan Genting ke Genting Sempah dan Jalan Genting menuju ke Ulu Yam.

“Saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen memandu, tamat tempoh cukai jalan dan mengubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Operasi turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Puspakom dan Pasukan Polis Bantuan,” katanya.



Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger