Kelebihan Mendaftar Segera GST !
KUALA LUMPUR – Syarikat yang mempunyai pendapatan RM500,000 setahun disarankan supaya segera mendaftar perniagaan di bawah cukai barang dan perkhidmatan (GST) agar tidak ketinggalan serta mendapat maklumat yang mencukupi mengenai cukai tersebut, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong.
Beliau berkata setiap syarikat yang telah mendaftar di bawah GST akan mendapat pemahaman yang lebih kerana mereka akan diberikan bimbingan khusus daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Melalui program tersebut, mereka akan mengetahui akan kelebihan GST dan segala pertanyaan mereka akan dijawab,” berkata kepada media selepas merasmikan Seminar GST untuk Pengusaha Restoran India, di sini hari ini.
Chua berkata mereka juga akan diberikan baucer RM1,000 yang diperuntukkan kerajaan untuk membeli perisian GST.
Seminar sehari itu dihadiri 500 peserta yang terdiri daripada syarikat-syarikat dari sektor perkhidmatan serta makanan dan minuman.
Beliau berkata kerajaan mendapat respons yang positif daripada syarikat-syarikat dalam negara yang tampil untuk mendaftar dengan GST dan setakat ini sebanyak 37,300 syarikat telah mendaftar dengan cukai yang bakal dilaksanakan pada 1 April tahun depan.
“Setiap hari jumlah syarikat yang mendaftar GST adalah sekitar 1,000 hingga 1,500 dan sekiranya trend ini berlarutan, setiap hari kita akan mendapat sejumlah 140,000 syarikat yang mendaftar GST pada hujung tahun ini,” tambahnya.
Timbalan menteri kewangan itu berkata hanya 13 hingga 15 peratus sahaja syarikat di Malaysia yang mempunyai pendapatan RM500,000 ke atas dan GST adalah wajib ke atas mereka.
Syarikat yang tidak mendaftar dengan GST akan dikenakan penalti serta pendaftaran secara automatik.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia, Muthusamy Thirumeni berkata, beliau berharap 90 peratus daripada peserta seminar tersebut tampil untuk mendaftar GST.
Seminar GST itu turut menyediakan kaunter pendaftaran GST bagi kemudahan para peserta.
Post a Comment