
Walaupun ada halangan universiti, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) tetap akan meneruskan 'hartal' yang dirancang hari ini bersama Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM), tanda solidariti kepada pensyarah undang-undang Prof Madya Dr Azmi Sharom.
Pengerusi PMUM Fahmi Zainol berkata, program berkenaan bukan bertujuan menggalakkan penuntut institusi pengajian tinggi awam itu memboikot kuliah, sebaliknya mereka akan menganjurkan kuliah di luar kelas di dalam kawasan UM.
"Kami bukan pertubuhan haram. PMUM ialah Majlis Perwakilan Pelajar yang dipilih ketika pilihan raya kampus.
"Cuma kami memilih untuk menggunakan nama PMUM kerana ia digunakan sejak dulu," katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, pensyarah daripada PKAUM akan mengadakan kuliah mereka di gazebo UM bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang.
"Kami bukan menggalakkan mahasiswa ponteng kelas atau memboikot kelas mereka, kami menggalakkan mana-mana mahasiswa yang tidak ada kelas untuk menyertai program itu," kata penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran dan Keadilan Sosial itu.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Prof Datuk Dr Rohana Yusof berkata kepada The Malaysian Insider, pihaknya hanya maklum berkenaan permohonan PKAUM dan Majlis Perwakilan Pelajar universiti berkenaan menganjurkan program itu, tetapi tidak mengiktiraf PMUM.
"Kita hanya berikan kebenaran kepada PKAUM untuk mengadakan perhimpunan kerana Azmi ialah presiden mereka,"
"PMUM ini saya tidak tahu, mereka tidak pernah wujud dan saya tidak tahu siapa mereka," katanya.
Kakitangan akademik dan mahasiswa UM dijangka melancarkan hartal pada Rabu sebagai tanda bantahan terhadap penahanan Azmi mengikut Akta Hasutan 1948 minggu lalu.
Fahmi berkata, program hartal itu akan bermula jam 1 petang di Speaker's Corner UM, termasuk gimik pelancaran sebagai tanda mereka "berkabung" atas tindakan yang dikenakan terhadap Azmi.
"Mungkin timbul kekeliruan daripada segi penggunaan istilah 'hartal'," kata Fahmi.
Fahmi, 23, berkata pihaknya kini bekerjasama dengan PKAUM dalam penganjuran kuliah di luar kelas tanpa menerima sebarang respon negatif daripada pentadbiran UM.
Kali pertama hartal diadakan di negara ini pada 20 Oktober 1947, dianjurkan gabungan Pusat Tenaga Rakyat (Putera) – All Malayan Council for Joint Action (AMCJA) sebagai bantahan kepada Perlembagaan yang dicadangkan penjajah British.
Hartal ialah perkataan Gujerat yang bermaksud protes beramai-ramai, biasanya membabitkan penutupan tempat kerja, pejabat, kedai dan mahkamah sebagai satu bentuk keingkaran awam.
Rohana bagaimanapun berkata, mahasiswa tidak dibenarkan memboikot sebarang kelas.
"Mana boleh pelajar boikot kelas," katanya.
Azmi didakwa pada 2 September kerana artikel bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu), dilaporkan sebuah portal berita pada 14 Ogos.
sumber

Post a Comment