Home » » Foto Bomoh Aji Tiduri Pesakit Dengan Sihir Pengasih

Foto Bomoh Aji Tiduri Pesakit Dengan Sihir Pengasih

Written By Unknown on 13/09/2014 | 12:17 am

DI Sebalik raut wajahnya yang tenang bagaikan seorang lelaki yang tinggi ilmu agama, siapa sangka dia sebenarnya bijak memperdayakan wanita demi memenuhi kepuasan seksualnya sendiri.

Dengan bermodalkan nama pengamal perubatan Islam yang mampu mengubati pelbagai penyakit, Halim, 60, meniduri pesakit-pesakit wanitanya dengan menggunakan sihir pengasih.

Menurut salah seorang mangsa, Maria, 44, Halim yang lebih dikenali dengan panggilan Aji dalam kalangan pesakitnya itu dipercayai membacakan jampi sihir ke atas pesakit wanita ketika dia mengurut ataupun memandikan mereka.

“Kejadian ini bermula apabila saya pergi berubat dengan Aji kerana saya menghidap sakit dada setelah dicadangkan oleh suami yang sememangnya mengenali bomoh tersebut.

“Bagaimanapun, pada keesokan harinya, saya secara tiba-tiba sering teringatkan wajah dan terbayangkan diri Aji,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Gila bayang

Menurutnya lagi, dia tidak ubah seperti orang yang gila bayang dan angau kerana sentiasa terfikirkan tentang bomoh yang telah tujuh tahun menduda itu.

“Hati saya berasa tidak tenteram dan secara tiba-tiba timbul satu perasaan cinta yang kuat serta berahi yang membuak-buak untuk bersama dengan Aji.

“Semenjak itu, kami sering berbalas khidmat pesanan ringkas dan Aji dilihat semakin berani mengajak saya melakukan hubungan seks dengannya,” ujar Maria ketika mengimbau peristiwa itu.

Jelasnya, hari demi hari hubungan mereka semakin intim sehinggalah Maria dengan rela hati menyerahkan tubuhnya kepada Aji.

Bagaimanapun, rahsia Maria terbongkar apabila adik iparnya yang juga rakan kepada Aji memberitahu suaminya tentang perbuatan terkutuk yang dilakukan Maria.

“Aji sendiri menceritakan tentang perkara ini kepada adik ipar saya memandangkan hubungan mereka agak baik.

“Mujurlah, suami dan anak-anak mengesyaki bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri saya dan mereka bertindak pantas dengan membawa saya berubat dengan seorang pengamal perubatan Islam terkemuka,” ujarnya.

Tambah Maria, dia bersyukur kerana keadaannya semakin pulih selepas mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan Islam di Gombak, Selangor.

“Secara beransur-ansur, perasaan sayang saya kepada Aji mulai berkurangan hingga saya dapat melupakannya,” katanya yang tinggal berhampiran dengan rumah Aji.

Menurut Maria lagi, ketika hubungan terlarang itu berlaku dia sebenarnya berada dalam keadaan tidak sedar dipercayai akibat disihir oleh bomoh tersebut yang semata-mata mahu memuaskan nafsunya.

“Sejujurnya, saya langsung tiada niat untuk bermain kayu tiga dengan suami kerana segala yang berlaku antara saya dan Aji bukan atas kerelaan saya.

“Saya takut untuk membuat laporan polis kerana kekurangan bukti selain tidak mahu maruah keluarga tercalar,” ujarnya.

Sementara itu, adik ipar Maria, Rosli, 39, mendedahkan, bomoh tersebut pernah memberitahunya bahawa dia mampu membuatkan sesiapa sahaja jatuh cinta kepadanya sebelum meniduri wanita itu.

“Saya pernah bertanyakan rahsia yang digunakan olehnya untuk memikat wanita, namun dia tidak mahu berkongsi dengan saya,” jelas Rosli yang juga merupakan rakan kepada bomoh tersebut.

Difahamkan, sebelum ini Aji berpisah dengan bekas isterinya setelah lelaki itu ditangkap berkelakuan tidak senonoh dengan seorang pesakit wanita di rumah mereka.

“Tidak kiralah sama ada yang datang berubat itu anak dara, sudah berumah tangga mahupun janda, mereka pasti akan menjadi mangsa Aji,” dakwa Rosli.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Kosmo! Ahad berkata, perbuatan bomoh yang memukau mangsa sehingga melakukan hubungan seks dengan mangsa boleh didakwa di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sumber

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger