Home » » Aktivis Cap Ayam Akan Terus Kempen Walau Dipenjara

Aktivis Cap Ayam Akan Terus Kempen Walau Dipenjara

Written By Unknown on 07/09/2014 | 9:20 am

Muhammad Safwan Anang, tidak gentar dengan hukuman penjara 10 bulan yang dikenakan terhadapnya, dan akan meneruskan kempen bantahan terhadap Akta Hasutan 1948.

Safwan tidak tunduk malu dengan hukuman itu, malah berkata dia dan beberapa penggerak pertubuhan bukan kerajaan anak muda dan mahasiswa akan menjelajah seluruh Lembah Klang bermula minggu hadapan bagi menyampaikan mesej bantahan tersebut.

"Alang-alang sudah menjadi mangsa, kita akan teruskan," katanya kepada The Malaysian Insider semalam.

Mahkamah Sesyen semalam menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya atas kesalahan memberikan ucapan berunsur hasutan dalam satu ceramah tahun lepas.

Safwan, 25, pada 29 Mei tahun lalu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi ucapan menghasut bagi membangkitkan kemarahan rakyat untuk mengubah kerajaan tertubuh mengikut undang-undang dengan menggunakan cara tidak sah.

Dia didakwa bersama Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau Tian Chua, 51, aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim, 25, aktivis Hishamuddin Rais, 63, ahli PAS Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 64, dan peguam Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 55.

Dalam perbicaraan semalam, Safwan dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

"Keputusan mahkamah memang mengejutkan saya dan keluarga kerana ia di luar jangkaan.

"Kami sangka akan hanya dikenakan denda," katanya.

Protes bantahan yang dijadualkan bermula pada 16 September ini akan bermula di KL Sentral dan seterusnya di sekitar Lembah Klang.

"Kami akan mengadakan 'flash mob' di sekitar Kuala Lumpur bagi menyuarakan bantahan terhadap akta ini," katanya.

Safwan berkata, jelajah berkenaan akan dikenali sebagai "Jelajah Hasut" dan bertumpu di sekitar stesen LRT di Lembah Klang.

Beliau berkata, ekoran keputusan mahkamah semalam, proses rayuan ke Mahkamah Tinggi bakal mengambil masa sekitar enam bulan dan masa itu akan dimanfaatkannya untuk terus membantah penggunaan akta berkenaan oleh Putrajaya.

"Akan ada 11 gabungan NGO mahasiswa dan anak muda dalam gerakan kami," katanya, menambah mereka akan memaklumkan secara rasmi penubuhan gabungan berkenaan Isnin hadapan.

Antara yang menyatakan persetujuan menyertai gabungan itu adalah Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Angkatan Pembebasan Bangsa Malaysia (APBM), serta beberapa lagi pertubuhan lain dengan matlamat perjuangan sama.

Ditanya penerimaan keluarganya tentang hukuman yang dikenakan terhadapnya, Safwan hanya berkata: "Dulu pernah ada pengalaman masuk penjara, boleh buat bekal ilmu sedikit."

Safwan berkata sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya dan dikenakan hukuman penjara, isterinya yang kini melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya dan anaknya akan tinggal bersama keluarga mertuanya.

"Keluarga saya dan mertua sangat menyokong. Saya tiada masalah untuk itu," katanya.

"Lagipun kediaman ayah mertua saya dekat dengan rumah kami sekeluarga," katanya.

Beliau bagaimanapun yakin apabila kesnya dibawa ke peringkat Mahkamah Tinggi, keputusan akan memihak kepadanya.

Putrajaya kini dilihat semakin agresif menggunakan Akta Hasutan meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2012 memberikan komitmen untuk memansuhkan akta berkenaan dalam usahanya mereformasikan sistem pentadbiran negara.

Pertubuhan hak asasi antarabangsa, Amnesty International Malaysia (AIM) melihat pendakwaan di bawah akta berkenaan atas lawan politik sebagai tanda "iklim penindasan" di Malaysia.

Beberapa pemimpin politik dari Pakatan Rakyat (PR) seperti Rafizi Ramli dan N Surendran (PKR), Khalid Samad (PAS), R S N Rayer (DAP) juga dikenakan tindakan di bawah akta berkenaan.

Antara yang turut didakwa menggunakan akta sama sejak dua tahun lalu termasuklah Teresa Kok (DAP), Tian Chua (PKR), dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS).

Mereka bakal kehilangan jawatan sebagai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sekiranya disabitkan kesalahan denda RM2,000 atau lebih, atau hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun.

Turut dikenakan tindakan di bawah akta itu adalah ahli akademik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom dan wartawan portal Malaysiakini Susan Loone.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger