Home » » Ulama Pas Buat Solat Hajat Pertahankan Khalid Ibrahim

Ulama Pas Buat Solat Hajat Pertahankan Khalid Ibrahim

Written By Azmy Klanajaya on 05/08/2014 | 11:56 pm

Kumpulan ulama PAS menganjurkan solat hajat perdana bagi menyokong Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Kahlid Ibrahim mengekalkan jawatannya. – Gambar fail The Malaysian Insider.

Ulama PAS akan mengadakan solat hajat perdana pada Khamis agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan walaupun PKR menghantar surat tunjuk sebab kepadanya kerana enggan berundur sebagai menteri besar Selangor.

Solat hajat perdana "Munajat Selamatkan Gaza dan Selangor Bumi Bertuah" anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Geng Ustaz dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Selangor akan diadakan pada 7 Ogos di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7, Shah Alam memohon supaya Khalid terus dikekalkan jawatannya sebagai ketua eksekutif negeri.

"Kita akan berdoa supaya tidak berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memohon supaya keputusan PAS (Pusat) berpihak kepada (ketetapan) tuan guru Presiden," kata Presiden Geng Ustaz Norazli Musa ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Norazli berkata, antara pemimpin yang akan hadir adalah Khalid, Pengarah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad, dan beberapa pemimpin lain.

"Kita sekarang tengah menunggu pengesahan daripada (Timbalan Mursyidul Am PAS) Ustaz (Datuk Dr) Haron Din untuk mengimamkan solat hajat," katanya.

Katanya, program bermula pada pukul 6.30 petang berbuka puasa dan solat maghrib, kemudiannya bacaan surah Yasin, solat Isyak, solat hajat dan diakhiri dengan ucapan pemimpin.

"Program ini terbuka dan orang ramai boleh datang seramai mungkin memenuhi ruang dewan untuk sembahyang bersama," katanya.

Selain itu, katanya program solat hajat juga dibuat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin di Gaza yang diserang tentera Israel sejak bulan lalu dan mengorbankan lebih 1,000 nyawa.

Hadi pada 25 Julai lalu tidak bersetuju dengan alasan PKR dan DAP yang mahu menyingkirkan Khalid kerana tokoh korporat itu tidak pernah dibuktikan berlaku khianat dalam menjalankan amanah rakyat.

"Insya-Allah itu sikap saya dan saya harap seluruh pimpinan PAS akan bersama dengan keputusan ini walaupun ada pandangan berbeza," katanya.

Pendirian Hadi itu menyebbakan beliau 'diserang' pemimpin Pakatan Rakyat dan parti itu sendiri sehingga mendorong Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan balas.

Nik Aziz dua hari kemudiannya mempertahankan Hadi yang mahu isu kelemahan pentadbiran Khalid diselesaikan dahulu di meja rundingan Pakatan Rakyat sebelum membincangkan isu calon pengganti.

"Saya sebagaimana banyak pihak di negara ini turut tertanya-tanya, atas silap dan salah manakah Khalid ingin digugurkan dari jawatan menteri besar," katanya.

Beliau turut menegur ahli PAS supaya meletakkan keutamaan ketaatan kepada pendirian presiden mereka.

Krisis isu menteri besar semakin parah apabila perbualan mesej WhatsApp AJK PAS Pusat didedahkan kepada umum, fokus kepada rancangan Zuhdi yang mencadangkan PAS keluar Pakatan Rakyat.

Pada masa sama bergabung dengan kerusi DUN Umno membentuk kerajaan perpaduan demi mengekalkan kedudukan Khalid dan mengembalikan semula kuasa politik Melayu-Islam melalui persempadanan semula.

Rancangan Zuhdi itu turut mendapat kecaman hebat apabila menyentuh isu sensitiviti agama bukan Islam di Selangor termasuk isu gereja dan penggunaan kalimah Allah.

Namun, Zuhdi mempertahankan kenyataannya sebagai satu analisis senario dan menganggap pihak yang membocorkan mesej itu sengaja “membangkitkan fitnah yang sedang tidur”.

PAS Pusat akan bermesyuarat pada 10 Ogos ini untuk memutuskan pendiriannya sama ada mahu menghormati hak PKR dalam isu kerusi menteri besar Selangor atau kekal dengan pendirian Hadi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat ketika dihubungi berkata pihaknya tidak menghalang usaha Pemuda PAS Se‎langor walaupun tindakan itu menimbulkan rasa kurang senang beberapa pemimpin parti yang setuju Khalid digugurkan.

"Itu inisiatif Pemuda PAS Selaangor. Kita cuma meraikan sahaja dan akan datang solat bersama jika diizinkan," katanya‎.

Difahamkan, Dewan Pemuda Pusat juga akan mengadakan program sama di setiap kawasan masing-masing mensasarkan empat tujuan.

Antaranya “Selamatkan keadaan yaang tegang, Bersihkan parti dari anasir perosak‎, dan Perkukuhkan negeri Pakatan Rakyat'.

Selain itu, 'Teguhkan perjuangan suci dan matlamat yang murni' juga turut disasarkan melalui solat hajat perdana anjuran Lajnah Penerangan.

-malaysianinsider
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger