Home » » Sukan Bogel Penang : 6 Lagi Diburu

Sukan Bogel Penang : 6 Lagi Diburu

Written By Unknown on 20/08/2014 | 3:34 am

GEORGETOWN – Polis masih mencari enam lagi individu iaitu dua rakyat tempatan dan empat warga asing bagi membantu siasatan pesta sukan bogel di Pantai Teluk Kampi dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata setakat ini sembilan individu termasuk seorang rakyat asing ditahan bagi membantu siasatan kes itu dan kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Kami masih menunggu maklumat daripada polis antarabangsa berhubung empat lagi rakyat asing yang dicari itu iaitu dari Singapura, Filipina dan Myanmar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata seorang daripada dua lelaki rakyat Malaysia yang dicari itu dikenali sebagai James Kumar, 40-an dan bekerja di Singapura manakala seorang lagi dikenali sebagai Michale, 30-an yang dipercayai masih berada di negara ini.

Rakyat asing yang dicari bagi membantu siasatan kes itu pula ialah seorang doktor berasal dari Singapura yang dikenali sebagai Terry, 30-an; rakyat Filipina dikenali sebagai Marvin Cueves, 40-an; dan dua rakyat Myanmar dikenali sebagai Newman dan teman wanitanya berusia lingkungan 30-an.

Pesta itu hangat diperkatakan apabila video berdurasi lima minit 52 saat bertajuk ‘Pesta Bogel di Teluk Bahang, Pulau Pinang’ tersebar di laman sosial memaparkan sembilan lelaki dan enam wanita melukis badan, menari serta mengadakan acara sukan dalam keadaan bogel di pantai berkenaan.

Mazlan berkata kertas siasatan berhubung kes itu juga telah siap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya hari ini untuk tindakan lanjut.

“Enam lelaki dan tiga wanita berusia antara 24 hingga 57 tahun yang ditahan secara berperingkat sejak 13 Ogos lepas sehingga semalam itu dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangan mereka.

“Sama ada mereka akan didakwa atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan Pejabat Peguam Negara, bagi pihak polis kami telah jalankan siasatan dan lengkapkan laporan siasatan kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini polis telah merekodkan keterangan daripada 29 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, Mazlan berkata sebanyak 17 laporan polis diterima di Pulau Pinang terhadap Anggota Parlimen Padang Serai N. Surendran yang didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semua keterangan dan laporan yang dibuat itu akan diserah kepada polis kontinjen Pahang untuk tindakan mereka kerana kertas siasatan kes itu dijalankan di sana. – BERNAMA

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger