KENYATAAN MEDIA
SPRM: KENYATAAN SETIAUSAHA AGUNG PKR TIDAK BERASAS DAN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail, yang dipetik oleh Malay Mail Online hari ini, yang menyatakan “SPRM akan selective investigation berhubung isu Khalid.” Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa SPRM tidak pernah mengamalkan siasatan yang memihak kepada mana-mana pihak.
Sebagai sebuah badan yang bebas, telus dan profesional, SPRM menganggap dakwaan Datuk Saifuddin bahawa SPRM melakukan siasatan selektif dan bahawa "pasti SPRM" akan mengumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak ada kes kelak, adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat terhadap SPRM. SPRM ingin mengingatkan supaya pihak berkenaan jangan cuba mengaitkan SPRM dalam isu pergolakan politik PKR tanpa asas yang kukuh.
Tugas dan tanggungjawab SPRM hanyalah menyiasat setiap kes yang ada unsur rasuah mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Akta SPRM 2009 dengan jelas memperuntukkan tugas SPRM hanyalah menjalankan siasatan manakala sama ada terdapat merit untuk mendakwa atau sebaliknya, ia merupakan tugas Pendakwa Raya berdasarkan keterangan dan bukti yang diperolehi. Kenyataan Saifuddin bahawa SPRM mengamalkan siasatan selektif adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali.
SPRM ingin menegaskan bahawa mana-mana aduan atau maklumat yang diterima yang mempunyai asas akan disiasat tanpa mengira latar belakang politik, bangsa, agama, pangkat, jawatan dan sebagainya.
DATUK HJ MOHD SHUKRI BIN ABDULL
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA OPERASI
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
7 Ogos 2014
Foto hiasan
Post a Comment