KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja kedai salon teruk dibelasah sekumpulan gadis ‘samseng’, malah lebih memalukan, aksi tersebut turut dirakam oleh salah seorang daripada ahli kumpulan berkenaan, dalam satu kejadian berhampiran sebuah salon rambut di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, Khamis lalu.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, 17, berada di tempat kerjanya sebelum dihampiri seorang gadis dikenali yang memanggilnya supaya mengikutinya ke sebuah lorong kecil berhampiran kedai berkenaan.
Kata sumber, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa akur dengan arahan gadis tersebut dan sejurus tiba di lokasi dimaksudkan, gadis itu dalam nada marah menuduh mangsa telah memfitnahnya.
“Terkejut dengan tuduhan itu, mangsa menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan tindakan itu menyebabkan suspek mula naik angin sebelum memukul mangsa menggunakan topi keledar yang sedang dipegangnya.
“Belum sempat mangsa bertindak, seorang lagi rakan suspek muncul secara tiba-tiba sebelum bertindak menyepak dan memukul mangsa beberapa kali,” katanya.
Sumber berkata, selain dibelasah, mangsa mendakwa seorang lagi rakan suspek turut merakam aksi dia dibelasah tanpa menghiraukan rayuan mangsa yang meminta dilepaskan.
Katanya, selepas puas membelasah mangsa, kesemua suspek beredar meninggalkan mangsa yang sedang kesakitan.
“Sebelum beredar, suspek turut mengugut akan memukul mangsa lagi sambil mengingatkan perkara ini belum selesai lagi menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya.
Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatannya pada masa akan datang membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, lima suspek berusia antara 18 hingga 30-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu ditahan polis beberapa jam selepas laporan dibuat bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Majistret Nurunaim Abdullah membenarkan kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian/realitiabadi
foto hiasan
Post a Comment