ALOR SETAR: Seorang wanita yang dalam perjalanan menghadiri satu temuduga, maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah treler di Batu 2, Jalan Langgar, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi itu, mangsa, Azah Syazwani Mohamad Dianuddin, 23, menunggang motosikal Modenas Kriss menuju ke arah pusat bandar apabila motosikalnya bergesel dengan treler dari arah yang sama di sebelah kanan jalan.
Berikutan kejadian itu badan mangsa termasuk di bawah treler lalu diseret ke hadapan. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.
Rakan mangsa, Naili Syuhartini Mohd Zain, 24, berkata dia dan mangsa ingin menghadiri temuduga itu di Bangunan Tabung Haji di sini dan merancang untuk pergi bersama menaiki motosikal masing-masing.
"Saya menunggunya di hadapan Pasar Raya Giant, tapi sudah lama menunggu dia tidak datang lagi. Saya pun menelefonnya tapi pihak hospital yang mengangkat panggilan itu dan memberitahu berita kemalangannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HSB, hari ini.
Naili berkata, mangsa sebelum itu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya dan menyatakan tidak sedap hati.
"Saya tak menyangka yang dia terlibat dengan kemalangan sehingga saya menelefonnya pihak hospital yang angkat telefon dan beritahu kepada saya," katanya.
Abang ipar mangsa, Mohd Nizam Ahmad, 45, berkata mangsa tinggal bersama ibu bapa di Kampung Bonggol Lalang, Guar Chempedak tetapi menetap sementara di rumahnya di Taman Seridik, di sini.
"Selepas mengetahui dia ada temuduga di Alor Setar, saya dan isteri memintanya untuk tinggal di rumah kami supaya mudah untuknya pergi kerja setiap hari nanti sebab jarak rumah kami dengan tempat temuduga itu tidak terlalu jauh," katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian itu.
Katanya, siasatan kes itu dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA
Post a Comment