Model Estonia Dibunuh Update : Teman Lelaki Pernah Di Tangkap Kes Dadah
Model sambilan warga Estonia, Regina Soosalu, yang kematiannya amat mengejutkan seluruh dunia, dan teman lelakinya terlibat dalam kes dadah pada Januari lalu serta pernah dibawa ke mahkamah pada Mei lalu.
Model berusia 29 tahun itu dan Tunku Alang Reza Tunku Ibrahim, yang juga kerabat diraja, didakwa di Mahkamah Majistret kerana memiliki 5.84 gram kanabis di Jalan Serigala dekat Taman Century di sini kira-kira pukul 11 malam pada 11 Januari lalu.
Mereka mengaku tidak bersalah pada 12 Mei dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM7,000.
Peguam mereka, Bustaman Menon Abdul Hamid Menon, berkata, kes tersebut masih berjalan dan disebut kali terakhir pada 25 Mei lalu.
Sementara itu, polis menahan Tunku Alang Reza untuk membantu siasatan berhubung kes kematian model sambilan tersebut.
Tunku Alang Reza, 28, ditahan reman selama seminggu bersama dengan seorang rakan yang hanya dikenali sebagai Augustine, 30, dengan perintah reman yang diperoleh dari Mahkamah Majistret Kota Tinggi di sini, pagi Khamis.
Penahanan mereka menjadikan jumlah yang ditahan berkaitan kes pembunuhan Soosalu yang ditemui mati di Pulau Rawa, Mersing dekat sini pada 1 Julai lalu.
kepada tujuh orang.
Sumber berkata, mereka yang ditahan lebih awal bertugas sebagai pelayan bar, dua pengendali bot, seorang pengurus resort dan seorang rakan kepada Tunku Alang Reza.
Kesemua mereka berada di Pulau Rawa semasa Soosalu ditemui mati.
Soosalu dilaporkan bersiar-siar di sepanjang pantai di Pulau Rawa dekat sini pada 1 Julai ketika tragedi itu berlaku.
Mayatnya ditemui tidak lama kemudian di pantai tersebut dan rakan rapat model tersebut hanya mengetahui mengenai kematiannya enam hari kemudian.
Soosalu pada awalnya dikatakan mati lemas apabila mayatnya ditemui di pantai tersebut beberapa jam selepas dia tiba di pulau berkenaan.
Bagaimanapun, polis kini sedang menyiasat kematiannya sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas menemui kecederaan “mencurigakan” pada badannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan yang mengesahkan penahanan teman lelaki Soosalu berkata, bedah siasat ke atas mayat sedang dilakukan.
“Sampel dari mayat Soosalu telah dihantar ke makmal untuk diuji. Butir-butir lain tidak boleh didedahkan sehingga ujian selesai,” katanya. – mstar.com.my
Post a Comment