Home » » Kawal Sekolah Pondok:  Kenapa PAS Takut?

Kawal Sekolah Pondok:  Kenapa PAS Takut?

Written By Unknown on 12/07/2014 | 12:06 pm


Berita Harian 30 Jun lalu menyiarkan kenyataan Dr. Mashitah Ibrahim yang menyarankan sebuah undang-undang untuk mengawal pergerakan sekolah pondok bagi mengelak ia menjadi pusat penghasilan pengganas militan.

Bukan itu saja, menurut beliau lagi, ada kalanya sekolah pondok didirikan untuk kepentingan peribadi.

Cadangan Dr. Mashitah amatlah murni dan tepat sekali. Kalaupun bukan untuk menghalang pergerakan militan, kawalan ke atas sekolah pondok pastinya membawa banyak manfaat kepada para pelajar dan juga para penjaga dan ibubapa yang meletakkan harapan tinggi kepada mereka. Dengan adanya ‘kawalan’ maka keadaan premis dan juga silabus pembelajaran tentunya perlu menepati standard tertentu, sekali gus memastikan keselamatan pelajar dan kualiti sekolah tersebut.

Sesungguhnya tiada apa-apa yang buruk mengenai cadangan Dr. Mashitah melainkan yang baik-baik belaka.

Namun, entah kenapa PAS begitu gusar dengan cadangan ini. Dr. Mashitah telah ditempelak oleh PAS, malah disaran untuk bertaubat. Dewan Pemuda PAS Kedah pula menganggap beliau ‘mencari pasal’ dan bakal memusnahkan usaha kerajaan BN sendiri untuk berbaik dengan institusi pondok.

Kita percaya, kerajaan BN turut bersetuju dengan Dr. Mashitah - bukan kerana beliau Dr. Mashitah tetapi kerana saranan beliau tepat.

Sesiapa yang melihat masalah militan sebagai remeh adalah sebenarnya manusia yang jahil mengenai perkembangan dunia.

Ketakutan PAS untuk membenarkan sekolah pondok dikawal menimbulkan tandatanya mengenai apa yang disembunyikan oleh mereka di sana. Ini kerana kita tahu bahawa walaupun bukan semua, tetapi kebanyakan sekolah-sekolah pondok merupakan ‘pusat pembiakan’ ahli-ahli PAS tegar.

PAS pada asalnya adalah sebuah parti yang ekstrim. PAS pernah mengkafirkan UMNO dan mungkin juga masih mengkafirkan UMNO. Malah, sehingga ke hari ini masih lagi terjadi solat dua imam semata-mata kerana tidak mengiktiraf imam lantikan kerajaan UMNO. Jelas di sini bahawa PAS masih lagi berfikiran ekstrim seperti dulu.

Pada suatu ketika darah UMNO dikira halal. Dari situlah terjadinya peristiwa Memali dan juga Sauk. Walaupun enggan mengaku bertanggungjawab, PAS tetap membela mereka yang terbunuh dalam peristiwa Memali sebagai syahid. Ini satu lagi bukti kukuh bahawa PAS masih lagi ekstrem dan berpegang kepada pendirian bahawa menentang kerajaan Islam UMNO, adalah satu jihad.

Pengikut-pengikut PAS ramai yang begitu teruja dengan idea jihad bersenjata. Baru-baru ini, telah terdedah bagaimana seorang pengikut PAS, Lotfi Ariffin yang pergi berjihad si Syria. Bimbang dipandang serong oleh DAP, PAS pantas membuat kenyataan bahawa Lotfi telah pun dipecat dari parti lebih awal lagi.

Entah benar entah tidak, tiada siapa yang dapat memastikan pemecatan Lotfi lebih awal. Tetapi, apa yang benar dan pasti ialah PAS tidak mampu memadam hakikat bahawa Lotfi mewakili pemikiran majoriti ahli-ahli PAS.

Selain Lotfi, menantu Presiden PAS sendiri, iaitu Zaharudin Muhamad turut mengesahkan ‘impian berdarah’ ahli-ahli PAS apabila beliau menyokong ISIL secara terbuka di dalam laman sosialnya.

Hakikatnya, PAS cukup sinonim dengan pemikiran militan. Seperti juga para militan di Timur Tengah, PAS lebih berminat untuk berjihad menentang sesama Islam tetapi tidak punya masalah dengan kafir harbi. Buktinya, PAS boleh saja berpeluk-peluk, tidur sebantal sambil bermimpikan Putrajaya bersama-sama DAP.

Walau apapun, PAS mungkin berhak menafikan bahawa ahli-ahli parti itu ekstrem dan berpotensi menjadi militan, tetapi PAS tidak wajar menafikan bahawa golongan ekstrem wujud di negara ini.

Kebelakangan ini, polis telah membuat beberapa tangkapan yang berkaitan ekstremisme atau militan. Perkembangan ekstremisme agama dan gerakan militan di rantau Asia bukan sesuatu yang dibuat-buat, bahkan cukup membimbangkan.

Justeru, sebagai pemimpin dan rakyat yang bertanggungjawab, PAS seharusnya bekerjasama dengan polis dan kerajaan untuk menghalang kumpulan ini berkembang.

PAS seharusnya menyokong cadangan Dr. Mashitah memandangkan sekolah-sekolah pondok sering menjadi tempat perkembangan pemikiran ekstremis. Kalaupun PAS menafikan kenyataan ini, sekurang-kurangnya PAS perlu bersikap terbuka dan membantu pihak berkuasa menghapuskan sebarang peluang atau ruang yang mampu membantu perkembangan dan pergerakan militan.

Melihatkan PAS begitu keberatan untuk membenarkan sekolah pondok dikawal, maka apakah salah jika kita mengesyaki bahawa PAS sememangnya menyokong atau melindungi pergerakan militan?

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger