KOTA BHARU, 4 Juli – Mesyuarat kedua Jawatankuasa Teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) semalam, menetapkan 12 nama calon wakil kerajaan negeri yang akan menganggotai jawatankuasa pelaksanaan enakmen tersebut di peringkat persekutuan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, delegasi Kelantan itu juga diketuai Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad sebagaimana penglibatan beliau sejak penggubalan undang-undang tersebut sebelum ini.
“Nama 12 calon tersebut akan diserahkan kepada menteri, selain itu jawatankuasa juga setuju mengadakan kunjungan hormat secara rasmi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam waktu terdekat ini,” katanya, semalam selepas mesyuarat kedua pelaksanaan enakmen tersebut yang turut dihadiri wakil badan terlibat di Kompleks Kota Darul Naim, semalam.
Menurutnya, pihaknya juga telah membentuk sekretariat tetap di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam yang dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan dan dibantu Datuk Hassan Mahmood serta Dr Md Yusnan Yusof, selain tiga jawatankuasa kecil ditubuhkan untuk mengawal dan menyusun perlaksanaannya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal tersebut memberitahu, pihaknya kini masih dalam perbincangan dari segi rangka dan gerak kerja pelaksanaan enakmen itu sehingga perkara tersebut dibawa ke Parlimen.
“Alhamdulillah, mesyuarat hari ini (semalam) berjalan lancar, kecuali Tun Salleh Abas dan Profesor Aziz Bari tidak dapat hadir. Cuma untuk pembentangan di Parlimen, itu kita kena selesaikan dulu jawatankuasa di peringkat persekutuan dan insya-ALLAH, nama tersebut akan dikemukakan secepat mungkin,” katanya.
Post a Comment