Alor Setar, 15 Julai – Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mempersoalkan di manakah kesalahan yang telah dilakukan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Besar Kedah sehingga tergamak diugut bunuh oleh seorang blogger baru-baru ini.
Tun Mahathir berkata, dia hanya mengetahui berita mengenai ugutan terhadap Menteri Besar Kedah selepas membacanya di surat khabar.
“Saya tak dengar kata ada (ugutan daripada Mukhriz), tapi saya baca dalam surat khabar ada ugutan terhadap menteri besar, tapi apa salah yang dia buat?
“Saya tak tahu lah kot dia ada buat salah tapi setakat yang saya tahu dia cuba berkhidmat, mungkin ada yang tak suka,” katanya mengulas kejadian yang menimpa Mukhriz.
Menurut Tun Mahathir , beliau menyifatkan ugutan bunuh yang diterima oleh Mukhriz dan Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Dato’ Syed Unan Masri Syed Abdullah adalah satu perkara biasa dalam politik serta berharap ia hanyalah ugutan semata-mata.
“Bagi saya perkara biasa sahaja... orang Malaysia tak ganas sangat. Tapi saya harap itu sebagai ugutan sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa lawatannya ke Kompleks Pekan Rabu, di sini, semalam.
Sebelum ini, seorang pemilik akaun Facebook (FB), ‘Padi Jantan’ telah mengeluarkan beberapa kenyataan di laman sosialnya yang mahu menembak kedua-dua pemimpin ini sekiranya dibekalkan pistol serta peluru.
Susulan daripada kenyataan itu, Ketua Pemuda UMNO Jerlun, Ahmad Azhar Abdullah telah membuat satu laporan polis terhadap pemilik FB, Padi Jantn untuk diambil tindakan di atas kenyataan tersebut.
Suspek berusia 37 tahun ditahan di Shah Alam, Selangor petang semalam, direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.
Dalam perkembangan lain, Tun Mahathir yang melawat Kompleks Pekan Rabu berkata, peniaga yang menjalankan perniagaan di sini sudah semakin bijak dalam memasarkan barangan jualan mereka.
“Saya seronok tengok ramai orang berniaga sekarang ini (di Pekan Rabu). Produk-produk mereka pun sudah naik taraf semakin meningkat tidak seperti dahulu, sekarang telah dibungkus, ada jenama, ia sudah banyak maju,” katanya yang mahu penambahbaikan dilakukan ke atas Kompleks tersebut agar pengujung berasa selesa.
–KedahNews.com
Post a Comment