Home » » Anjung Singgah Layan Buruk : Siasat Segera Dakwaan Ketua Pengarang Harian Metro

Anjung Singgah Layan Buruk : Siasat Segera Dakwaan Ketua Pengarang Harian Metro

Written By Unknown on 10/07/2014 | 12:51 am


Penulis Ketua Pengarang Berita Harian Metro: Penyamaran Dedah Cara Anjung Singgah Layan Gelandangan

Merekalah yang mencadangkan saya membuat penyamaran kerana kata mereka hanya dengan cara itu saja saya dapat mengetahui dan menyelami sendiri denyut nadi kehidupan golongan gelandangan.

Justeru, ingin saya jelaskan bahawa di peringkat awal saya bukan sengaja ingin mencari salah atau memburuk-burukkan Anjung Singgah.

Terlanjur menyamar, saya ke premis dua tingkat terletak di Jalan Lekiu itu kerana sepatutnya Anjung Singgah menjadi sebahagian daripada skrip apabila kita bercerita mengenai gelandangan.

Ketika kunjungan itulah terbongkar betapa pusat kebajikan yang mula dibuka pada April 2011 itu, bukan saja terlalu rigid dengan kerenah birokrasi, malah jelas ada yang tak kena apabila seorang lelaki mendakwa dirinya anggota RELA berperanan sebagai pembuat keputusan dalam menerima atau tidak gelandangan yang datang untuk mendapatkan bantuan.


Lebih menyedihkan apabila rakan wartawan Shamran Sarahan yang turut membuat penyamaran, langsung tidak diberikan secubit makanan biarpun puas meminta, sedangkan pada ketika itu petugas Anjung Singgah begitu asyik menjamu selera dengan juadah yang mereka dakwa hanya untuk penghuni.

Jadi, bagi saya bukan sekadar soal etika kejujuran ketika bekerja saja yang kita perkatakan di sini, tapi juga soal kemanusiaan serta sifat ihsan sesama manusia.

Bagaimana boleh seseorang yang bekerja di pusat kebajikan untuk membantu orang susah, tergamak tidak memberi makanan kepada si miskin yang datang meminta pertolongan? Situasi inilah yang mendorong saya untuk menulis berita yang mempersoalkan kewibawaan Anjung Singgah, adakah ia benar-benar mencapai matlamat penubuhannya atau sekadar memberi manfaat kepada pihak tertentu saja.

Ketirisan inilah saya harap akan disiasat oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selaku kementerian yang menaungi Anjung Singgah yang diuruskan oleh Yayasan Kebajikan Negara itu.

Saya difahamkan, Anjung Singgah beroperasi dengan dana yang disuntik oleh KPWKM. Jadi, bermakna ia wang kerajaan dan wang kerajaan sebahagiannya datang daripada wang rakyat.

Ketika melancarkan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bercakap panjang lebar mengenai usaha kerajaan untuk mengelak daripada berlaku ketirisan dalam pengurusan wang kerajaan.

Sehubungan itu, sudah tiba masanya ketirisan yang berlaku di Anjung Singgah turut dihentikan.

Saya percaya Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim akan mengotakan janjinya kepada Harian Metro untuk menyiasat kepincangan yang berlaku di Anjung Singgah.

Syabas dan terima kasih juga saya ucapkan kepada beliau kerana segera memberi maklum balas kepada kami apabila dimaklumkan mengenai ketirisan yang disyaki wujud di pusat kebajikan itu.

Penulis Ketua Pengarang Berita Harian Metro

Sumber : Metro
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger