LUCKNOW - Tiga lelaki mengaku memperkosa dan membunuh dua remaja wanita yang ditemui tergantung pada sebatang pokok di India, kata polis semalam.
Seorang pegawai polis, Atul Saxena berkata, pihak berkuasa masih memburu dua suspek lain berhubung serangan itu yang berlaku pada minggu lalu di negeri Uttar Pradesh.
"Mangsa merupakan pasangan sepupu yang masing-masing berusia 14 dan 15 tahun," katanya.
Dua remaja itu yang berasal daripada keluarga miskin tanpa tandas hilang malam Selasa lalu apabila mereka pergi ke sawah untuk membuang air.
Kejadian itu berlaku di kampung Karta yang terletak sekitar 300 kilometer dari ibu negeri Uttar Pradesh, Lucknow.
Selepas mereka ditemui tergantung pada sebuah pokok mangga keesokan harinya, beratus-ratus penduduk kampung berhimpun di sekitar pokok tersebut.
Mereka mahu polis terdahulu menahan penyerang dua gadis itu sebelum bertindak menurunkan mayat-mayat mangsa.
Polis menangkap dua suspek pada hari yang sama dan suspek ketiga kelmarin.
"Apabila disoal siasat mereka mengaku menyerang kedua-dua remaja perempuan tersebut," jelas Atul. Suspek-suspek berkenaan yang merupakan sepupu daripada sebuah keluarga besar berdepan dakwaan merogol dan membunuh, mereka boleh dihukum mati jika didapati bersalah.
Menurut Atul, polis sedang menyediakan lakaran dua suspek lain berdasarkan keterangan ketiga-tiga lelaki tersebut.
Pihak berkuasa turut menangkap dua anggota polis dan menggantung kerja dua yang lain kerana gagal melakukan siasatan selepas bapa salah seorang mangsa mengadu tentang kehilangan mereka malam Selasa lalu.
Dalam pada itu pihak berkuasa persekutuan akan mengambil alih kes tersebut pada minggu ini. - AP
-Tidak Kalah
No comments:
Post a Comment