Kita dah intip banyak kali, bila suami dia kerja malam, isteri akan ‘seludup’ lelaki lain masuk ke rumah. Pukul 3 pagi, baru lelaki itu keluar. Ini kes main kayu tiga, tak puas dengan suami dan isteri dia orang kut?” kata pengawal keselamatan di satu kawasan perumahan.
Petikan laporan sebuah blog berkaitan pasangan main kayu tiga. Itu realiti mereka yang sudah berkahwin, tapi hakikatnya isu menjalin hubungan sulit lebih banyak berlaku dalam kalangan pasangan yang bercinta.
Golongan muda lebih cenderung berdepan masalah ini kerana selari dengan sikap dan nafsu mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baru. Jika bercakap soal pasangan yang sudah berkahwin, statistik ada menunjukkan yang 73 peratus wanita dan 62 peratus lelaki tidak puas di ranjang berikutan majoriti mereka lebih mengutamakan kerjaya dan kehidupan keluarga.
Mereka akan mencuba sesuatu yang berbeza dengan mencari individu lain yang mampu memuaskan nafsu mereka meskipun terpaksa membelakangkan soal agama.
Tapi bagi pasangan yang bercinta, sebuah majalah gaya hidup ada mengangkat statistik sebanyak 60 peratus pasangan terpaksa berpisah kerana pasangannya ditangkap menjalin hubungan sulit dengan orang lain.
Ayat klise yang biasa didengar apabila pasangannya ditangkap:
“Apa lebihnya wanita-wanita itu dan apa kurangnya saya? “Sampai hati awak buat saya macam ini walaupun saya tidak pernah sekali melukakan hati awak.”
Tapi sebaik-baiknya apabila seseorang itu sudah ditangkap menjalin hubungan dengan orang lain dan kebetulan ketika itu belum lagi ada apa-apa ikatan rasmi seperti berkahwin, lebih baik terus lupakan saja janji manis atau pujuk rayunya kerana kebanyakan lelaki atau perempuan sendiri yang terperangkap dengan sikap sebegini susah untuk berubah.
Lelaki yang gemar bermain kayu tiga adalah sinonim dengan sikapnya yang pandai mengayat, memujuk dan mencairkan hati wanita. Justeru jika dia sudah ditangkap dan kemudian memujuk anda untuk kembali padanya, itu satu kesilapan jika anda bersetuju kerana lelaki jenis ini hanya serik sebentar.
Jika wanita pula sudah ditangkap punya hubungan lain, itu lebih parah kerana dia seorang yang langsung tidak pandai menjaga kehormatan diri dan membiarkan lelaki lain cuba menyelami hatinya pula.
Pendek kata, masalah mencari pasangan lain dan memasang kekasih baru adalah satu kesalahan dalam hubungan yang tidak boleh dimaafkan.
Temubual dengan seorang gadis berusia 24 tahun yang terpaksa meninggalkan kekasihnya kerana ditangkap tinggal bersama wanita lain jelas membuka satu sudut berbeza mengenai isu kasanova.
Katanya yang enggan wajah dan namanya diterbitkan, apa yang penting adalah kekuatan diri untuk melupakannya.
“Saya sudah lama mengesyaki teman lelaki ketika itu mempunyai sikap ‘gatal’ dan cepat jatuh cinta dengan wanita lain kerana setiap kali berdepan perempuan lain, pandangannya lain macam dan jelas punya maksud lain.
“Tapi saya malas untuk menuduh atau sengaja menjadikan masalah kerana kami sudah lebih dua tahun berkawan dan merancang ke peringkat lebih serius. Malah, keluarga pun sudah kenal dan sibuk bertanya untuk kami berdua berkahwin.
“Lagipun jika saya punya persepsi negatif, ia akan hanya menyakitkan hati sendiri kerana lelaki tidak akan mengaku dan mula mencari salah kita pula untuk mengalihkan topik perbuatannya.
“Tapi lama-kelamaan dia makin berubah sikap. Jarang menghubungi saya dan asyik memberi alasan jika saya mahu bertemu sedangkan pada awal perhubungan, dia yang cepat cemburu.
“Saya mula tidak sedap hati dan beberapa kali menangkapnya menghantar mesej di telefon bimbit kepada perempuan lain, tapi alasannya urusan kerja.
“Akhirnya selepas hampir setengah tahun memendam rasa, saya dibuka jalan untuk melihat sendiri kekasih saya bersama kawan pejabatnya yang tinggal bersama di sebuah rumah sewa.
“Rupa-rupanya sudah hampir setengah tahun mereka bersama dan menjalin hubungan. Alasannya kerana saya sibuk dan tidak mahu membenarkannya meniduri saya. Walaupun alasan sangat bodoh, tapi itulah lelaki!
“Lebih menyakitkan saya mengapa masih ada perempuan yang bodoh kerana membiarkan lelaki menghancurkan kehormatan diri mereka? Itu lebih memalukan!” katanya.
Tambah gadis malang ini, pujuk rayu bekas kekasihnya selepas lebih sebulan ditinggalkan ketika itu langsung tidak diendahkan.
“Memang macam orang gila dia datang merayu, tapi langsung saya tidak peduli kerana dia memang tidak akan berubah. Saya percaya dia tidak sayangkan saya kerana itu dia sanggup tidur dengan perempuan lain, sedangkan kami sudah fikir soal kahwin.
“Justeru saya kuatkan hati dengan bertemu kawan dan banyak habiskan masa dengan kerja dan keluarga. Lagipun tidak apa yang saya rugi kerana kehilangan lelaki seperti itu. Saya percaya pada kata inspirasi - ‘perempuan baik dipertemukan dengan lelaki yang baik’.
“Bila saya fikir semula memang kelakar kerana bekas teman lelaki pun bukan jenis berduit dan mampu memberikan kehidupan mewah kepada mana-mana perempuan. Kadang-kadang saya sendiri yang memberinya duit.
“Itulah realiti kasanova sengkek!” katanya.
Pesan gadis itu, kepada lelaki yang berangan nak memasang dua tiga, periksa poket atau akaun bank terlebih dulu.
Dalam sesuatu perhubungan, kalau kita berbicara mengenai soal putus cinta, biasanya kaum lelaki cukup sinonim dengan punca memutuskan hubungan. Kaum lelaki yang biasanya akan minta putus, lelaki juga banyak main kayu tiga dan kalau tak putuskan pun, hilang tiba-tiba.
Pendek kata semua salah lelaki. Tapi pernahkah kaum perempuan renung semula apa yang menyebabkan lelaki jadi begitu?
Biasanya apabila kawan si lelaki bertanya mengapa dia meninggalkan kekasihnya atau sanggup bermain kayu tiga, dengan selamba si lelaki akan mengatakan yang teman wanitanya tidak pernah memahami.
Wanita selalunya berkeras mengatakan sudah cukup memahami kekasihnya, namun sebenarnya mereka langsung tidak faham sebaliknya masih kekal dengan sikapnya yang gemar mendesak, menduga kesabaran dan biasanya suka menambah serabut di kepala teman lelaki.
Sama ada sedar ataupun tidak, golongan wanita selalunya lebih sensitif dan inginkan perhatian dan hal ini akan menyebabkan lelaki cepat bosan dan penat. Mereka malas ingin memanjangkan masalah dan mengambil langkah mudah iaitu memutuskan hubungan ataupun mencari wanita lain sebagai pengganti.
Kebanyakan wanita juga terlalu mengawal dan mencabar ego lelaki. Masalah besar bagi kaum perempuan ialah suka mendesak, terlalu berharap dan terlalu fikirkan diri sendiri tanpa fikir pasangan mereka.
Kadang-kadang mereka tak sedar bila bersama mereka terlalu mengharap pada dia. Nak itulah, nak ini. Kalau dapat lelaki yang kurang sabar, mesti sudah kena tinggal. Tapi kalau dapat yang kuat sabar, dia akan cuba tunaikan juga permintaan teman wanitanya. Lama-kelamaan bila selalu minta itu dan ini, mulalah ego lelaki tercabar. Sebab akhirnya permintaan wanita itu jadi macam satu arahan buat lelaki.
Keadaan begitu mendesak si lelaki untuk mencari tempat lain yang boleh dia luahkan rasa dan seseorang yang mampu mengalihkan tumpuannya kepada rasa tertekan dengan anda. Itulah punca kebanyakan kes curang atau pasang dua dalam senyap.
Hal lelaki juga yang ditinggalkan teman wanita juga tidak banyak bezanya. Mereka kebanyakan terlalu cemburu dan mengongkong. Malah sebuah majalah remaja pernah merekodkan sebanyak 90 peratus hubungan itu gagal disebabkan teman lelaki yang terlalu cemburu hingga menyebabkan hubungan itu menjadi tegang dan panas.
Secara amnya, kesilapan dalam sesebuah hubungan itu berlaku ada kalanya tanpa di sedar dan keadaan bertambah rumit apabila keputusan diambil ketika marah dan tidak rasional.
Bagaimanapun jika pasangan itu ditangkap kerana mempunyai hubungan sulit atau menduakan kekasihnya, itu sangat tidak boleh diterima dan harus ada alternatif bagi menyelesaikan masalah itu.
Wanita selalunya menjadi mangsa kerana mereka cepat menerima semula kekasihnya dan yakin teman lelakinya itu akan berubah walaupun sudah beberapa kali ditangkap ada kekasih lain.
Justeru jika sesiapa antara kita yang terperangkap dalam permasalahan emosi ini, jangan tunggu lama. Tepuk dada tanya selera sendiri.
sumber : wooots
Post a Comment