Keterangan Gambar, Klik di SINI
“UiTM Benteng Terakhir Orang Melayu” adalah slogan yang kita dapat lihat tertera di papan-papan tanda di universiti tersebut di seluruh Malaysia. Namun begitu, dengan kejadian baru-baru ini, UiTM seolah diserang dengan hebat. Serangan ini tidak hanya datang dari luar tetapi juga dari dalam UiTM sendiri. Yang paling sedih adalah apabila UiTM diserang dengan hebat oleh bekas pelajarnya sendiri. Sepertimana yang telah berlaku di dalam pilihanraya kecil Teluk Intan yang lalu. Apakah kesemua pelajar UiTM yang lain berpendapat yang sama dengan calon DAP Teluk Intan tersebut? Pastinya tidak bukan?
Namun persoalannya, hanya sebilangan kecil sahaja pelajar dan bekas graduan UiTM yang nampak benar-benar komited dalam melaksanakan usaha untuk mempertahankan UiTM dari serangan yang bertali arus ini. Contoh terbaik yang boleh dilihat ialah bagaimana Persatuan Alumni UiTM Malaysia dengan agresif mengadakan program-program kesedaran sepanjang tempoh pilihanraya kecil itu. Tetapi apakah hasilnya? Adakah anak-anak muda yang sedang atau sudah selesai pengajian sedar akan perkara yang berlaku disekeliling mereka?
Kita dapat melihat ada juga yang mempertahankan UiTM secara peribadi melalui laman-laman sosial peribadi mereka. Dengan meletakkan lambang UiTM sebagai profil ini menunjukkan sokongan yang mereka sayangkan UiTM dan tidak bersetuju dengan apa yang berlaku di dalam senario politik tempatan. Apapun, kita mengharapkan satu kesatuan yang lebih jitu dapat diwujudkan di kalangan bekas pelajar dan pelajar UiTM.
Penyatuan ini harus diadakan secara besar-besaran untuk menyampaikan mesej kepada dunia bahawa UiTM ini milik mutlak bangsa Melayu selagi ada bulan dan matahari di angkasa raya. Kita mahu melihat graduan UiTM mempunyai suara besar, bukan sahaja untuk menyuarakan pendapat tentang isu UiTM sahaja tetapi untuk pelbagai isu yang melibatkan bangsa Melayu khususnya dan juga isu-isu domestik dan antarabangsa.
Keunikkan institusi pelajaran tinggi yang khas untuk Bumiputera ini sewajarnya dijadikan contoh utama kepada seluruh rakyat Malaysia tentang kepentingan untuk memajukan golongan majoriti di tanah air yang kita cintai ini. UiTM wujud untuk merapatkan jurang ekonomi dan sosial orang Melayu/Bumiputera di Malaysia.
Para graduan UiTM perlu bangkit segera dan menunjukkan kekuatan mereka sebagai pemimpin orang Melayu/Bumiputera di Malaysia. Tunjukkan kekuatan anda sebagai pemimpin dari sudut politik, masyarakat dan akar umbi. Pelajar UiTM pula perlu segera menetapkan tekad untuk memberikan yang terbaik untuk kejayaan akademik mereka agar mereka yang bakal menjadi pemimpin di Malaysia ini berupaya untuk memikirkan kepentingan orang Melayu di Malaysia.
Ya, memang benar, alumni UiTM telah berjaya di seluruh negara, hingga nama para graduan kita di sebut-sebut oleh universiti terkemuka dunia. Namun ada yang masih merungut, kononya graduan-graduan kita tidak diberikan peluang untuk berkhidmat di dalam kepimpinan tertentu. Para graduan dan pelajar UiTM harus sedar, perjuangan memartabatkan bangsa ini adalah perkara yang amat sukar. Sekiranya mereka ingin melaksanakannya, mereka bukan sahaja perlu berhadapan dengan anasir luar yang mengecam mereka dari setiap sudut tetapi mereka juga terpaksa berhadapan dengan masalah dalam yang melanda politik Melayu di Malaysia.
Yang penting, para graduan UiTM perlu sedar, bahawa ini sajalah institusi yang tinggal yang memartabatkan orang Melayu/ Bumiputera di Malaysia. Ini sajalah harta peninggalan pusaka pemimpin terdahulu untuk kesenangan kita di masa hadapan. Justeru itu, bangkitlah, lawanlah, walau yang menentang itu berkulit sawo matang dan sebangsa seperti kita. Sekiranya mereka mahu menghapuskan UiTM, atau membuka UiTM kepada bangsa lain, atau mereka ingin membuat UiTM untuk bangsa lain, maka kita bangkit dan kita tentang. Bukan kerana kita racist. Tetapi kerana sekiranya institusi seunik ini tidak dibela, apa lagi yang tinggal untuk orang-orang seperti kita.
Post a Comment