Home » » Bekas Komando Kes Altantuya Disiasat Kes Tumbuk Polis Pula..

Bekas Komando Kes Altantuya Disiasat Kes Tumbuk Polis Pula..

Written By Unknown on 22/06/2014 | 11:33 pm


Bekas komando polis yang didakwa membunuh Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006 lalu kini berhadapan dengan masalah sekali lagi, sebelum ini ditangkap khalwat dengan wanita yang sudah berkahwin dan kini didakwa menumbuk seorang anggota polis pula.

Kejadian berlaku di Balai Polis Sepang malam Khamis lepas selepas beliau ditahan kerana berkhalwat dan dibawa ke balai polis itu.

Ia berlaku dalam keadaan tangannya bergari ketika rakan kepada suami wanita itu datang mahu membantu tangkapan tersebut.

Bekas komando itu menumbuk muka anggota polis itu sehingga berdarah hidungnya dan cedera ringan pada bibirnya.

Ketua polis Sepang, Superintendent Mohd Yusoff Awang berkata kertas siasatan dibuka terhadap suspek di bawah Seksyen 323 Kod Penal kerana menyebabkan cedera tanpa senjata selepas laporan oleh polis yang menjadi mangsanya.

Ketika menjelaskan perkara itu, Mohd Yusof berkata, berlaku kekecohan selepas bekas komando itu ditangkap kerana khalwat.

"Polis yang cedera itu adalah jiran wanita itu. Dia datang untuk membantu. Berlaku salah faham dan berakhir dengan kecederaan," kata Mohd Yusoff.

Difahamkan satu kenyataan direkodkan daripada pengadu tentang apa yang berlaku semasa insiden tersebut, namun tiada kenyataan direkod daripada bekas komando itu.

"Kami akan panggil dia untuk membuat kenyataan tidak lama lagi," kata Mohd Yusoff.

Bekas komando itu yang sebelum ini bersama Skuad Tindakan Khas di Bukit Aman, ditangkap khalwat bersama wanita sudah berkahwin di dalam unit apartmennya di Ibu Pejabat Polis Sepang oleh suaminya pada 1.20am.

Suami wanita tersebut, seorang anggota polis bersama unit peronda, pergi ke unit mereka untuk memeriksa keadaan isterinya dan syak sesuatu tidak kena apabila mendapati pintu terkunci.

Selepas memeriksa lagi, dia menjumpai bekas komando itu bersembunyi di sebelah katil.

Kes ini dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan seterusnya.

Satu fail disiplin juga dibuka terhadap wanita tersebut, yang juga polis, sementara bekas komando tersebut disiasat di bawah kesalahan menumbuk polis.

Dia juga bakal disiasat oleh Jais untuk dakwaan khalwat.

Mohd Yusoff enggan mengesahkan jika lelaki yang ditangkap tersebut adalah lelaki yang sama disabitkan untuk kes pembunuhan Altantuya dan dibebaskan atas rayuan.

"Saya belum jumpanya. Saya tidak tahu bagaimana rupanya jadi saya tidak boleh beritahu," katanya.

Bagaimanapun, laporan polis yang dibuat tertulis namanya sebagai Azilah Hadri, nama yang sama seperti Ketua Inspektor Azilah Hadri yang merupakan salah satu daripada dua komando yang dibebaskan pada Ogos tahun lepas selepas sabit kesalahan mereka bagi pembunuhan Altantuya dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Seorang lagi komando tersebut adalah Korporal Sirul Azhar Umar.

Kebetulannya, lelaki yang ditahan tersebut juda merupakan seorang bekas polis bersama Skuad Tindakan Khas Bukit Aman, unit yang sama di mana Azilah bertugas sebelum penahannya pada 2006.

Azilah dan Sirul didakwa dan disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 2009 untuk pembunuhan Altantuya, 28, di sebuah hutan simpan di Shah Alam pada Oktober 2006.

Kedua-duanya bersama Skuad Tindakan Khas Bukit Aman dan di bawah pasukan sekuriti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada masa itu, Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pertahanan.


Gambar diambil dari laman web. – www.cops.org.my, 22 Jun, 2014.



Pada Isnin, Mahkamah Persekutuan akan menjalankan prosiding dua kes berprofil tinggi, dan salah satu daripadanya adalah rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan dua anggota polis skuad tindakan khas, Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar atas dakwaan membunuh warganegara Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Mahkamah Rayuan pada Ogos lepas membebaskan Azilah dan Sirul Azhar atas dakwaan bunuh tersebut selepas sebulat suara meluluskan rayuan mereka, dan membatalkan sabit kesalahan serta hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah kerana membunuh Altantuya.

Mahkamah Rayuan, dalam penjelasan penghakiman 47 mukasurat itu menegaskan bukti keterangan mengikut keadaan dikemukakan oleh pihak pendakwa tidak mencukupi untuk mensabitkan mereka bersalah.

Pihak pendakwa memfailkan rayuan mereka pada 3 Januari tahun ini, dengan 6 sebab mengapa Mahkamah Rayuan berpanel 3 hakim itu adalah salah di sisi undang berserta bukti untuk menghalang dua polis tersebut mengelak hukuman mati. Pendengaran kes tersebut akan berlangsung esok.


'RN: Sumber
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger