Home » » 80,000 Pasport Rakyat Malaysia Hilang...

80,000 Pasport Rakyat Malaysia Hilang...

Written By Unknown on 22/06/2014 | 10:12 am

Lebih 80,000 pasport milik rakyat negara ini didapati hilang antara 2010 hingga Mei tahun ini.

Rekod jabatan itu menunjukkan sebanyak 83,015 kes kehilangan pasport dilaporkan antara 2010 hingga Mei tahun ini.

Malahan, jabatan itu juga tidak menolak kemungkinan ada sindiket tertentu yang menggunakan pasport hilang itu untuk menjalankan kegiatan tidak bertanggungjawab.

Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi yang mendedahkan perkara itu berkata, sebanyak 25,009 pasport Malaysia dilaporkan hilang sepanjang 2010, diikuti 15,847 (2011), 17,184 (2012), 18,177 (2013) dan 6,798 antara Januari hingga Mei tahun ini.

Walaupun pasport yang hilang bukan daripada pasport yang dikeluarkan pada tempoh itu, tetapi jumlah kehilangannya cukup besar.

“Bagi saya, 83,015 pasport Malaysia yang hilang itu hanya 90 peratus daripada jumlah keseluruhan yang benar-benar hilang kerana ada lebih 10 peratus lagi yang tidak melaporkan kehilangannya,” katanya dalam satu temuramah dengan mStar Online di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini, baru-baru ini.

Sakib berkata, kebiasaannya, kes kehilangan pasport dilaporkan kepada jabatan itu apabila pengadu memohon pasport baharu bagi menggantikan dokumen yang hilang itu atau memperbaharui pasport yang tamat tempoh.

Katanya, lojiknya, pemilik pasport tempatan adalah individu yang pernah atau biasa ke luar negara atas urusan tertentu dan akan membuat gantian jika dokumen peribadi itu hilang.

“Bagaimanapun kita percaya kadar lebih 10 peratus itu mungkin pasport milik mereka yang tinggal di pedalaman, tetapi tidak kerap ke luar negara atau membuat pasport hanya untuk penggunaan sekali sahaja seperti menunaikan umrah atau haji,” katanya.

Menurut Sakib, punca kehilangan pasport yang mencatatkan bilangan kes tertinggi adalah kecurian iaitu 29,700 kes, seterusnya tersalah simpan (24,622 kes), tercicir dari beg atau poket sebanyak 14,414 kes.

Faktor lain yang menyebabkan kehilangan pasport adalah simpan di tempat tidak selamat (7,098), hilang semasa pindah rumah (4,374), tertinggal di dalam kenderaan awam (773) dan malapetaka/bencana alam (593).

“Kehilangan yang disebabkan kecuaian adalah simpan di tempat tidak selamat, tertinggal dalam kenderaan awam dan menjadikan pasport sebagai deposit apabila menyerahkannya kepada agensi tertentu. Malah, kecurian pasport juga berpunca daripada kecuaian,” katanya.

Mengenai pembabitan sindiket dalam kes pasport hilang, katanya, walaupun ia hanya kes terpencil, tetapi dapat dikesan Jabatan Imigresen menerusi proses pemantauan yang berterusan.

“Dengan adanya sindiket tertentu, sesebuah pasport itu boleh melalui proses perubahan pada butiran data dan gambar untuk pemalsuan dokumen bagi melancarkan kegiatan mereka," katanya.

Katanya, langkah memudahkan proses permohonan pasport dalam masa sejam atau secara dalam talian menyebabkan ada pihak yang tidak prihatin terhadap kepentingan menjaga dokumen itu.

“Jika diluar negara, pasport itu sendiri menggantikan kad pengenalan. Di luar negara, tanpa pasport kita dianggap sebagai orang tanpa negara.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menyimpan pasport di tempat lebih selamat dan menghargai dokumen berkenaan sebagaimana mereka menghargai diri sendiri,” katanya.

Mstar

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger