

Bantahan MEREBAK ke Kuala Lumpur???Ahli Pemuda Umno memberi amaran keras kepada DAP, dengan mengancam akan membakar ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur jika wakil rakyatnya membuat lagi kenyataan yang menghina parti mereka.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Mohd Rafii
memberi amaran kepada DAP bahawa penghinaan seterusnya akan mengundang padah.
"Ingat, sekali lagi kami dengar anda hina parti (kami), kami akan bakar bangunan ini."
Kira-kira 50 ahli Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mengadakan bantahan di luar ibupejabat DAP di Kuala Lumpur kerana membantah kenyataan wakil rakyat DAP Seri Delima, RSN Rayer yang dilaporkan menyebut "Umno celaka".
Mereka juga membawa kain rentang, yang antara lain berbunyi, RSN Rayer "anak haram" dan "tolol".
Satu lagi kain rentang berbunyi, 'Jangan biar celaka bertukar menjadi malapetaka. Adun DAP biadap'.
Bantahan itu juga menyaksikan sebuah papan tanda besar DAP dirobohkan.
Kemarahan itu juga dinyatakan dalam memorandum yang dibawa mereka atas nama Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii.
Memorandum itu antaranya mendesak DAP mengenakan tindakan disiplin kepada Rayer dan jika tidak, ia menggambarkan DAP bersetuju dan bersekongkol dengan kenyataannya itu.
Ia juga, memetik memorandum itu, bermaksud DAP sebuah parti yang mengamalkan amalan rasis dan cauvanis.
Selepas berunding dengan pihak polis, mereka dibenarkan untuk menghantar beberapa wakil , termasuk Razlan, untuk menyerahkan memorandum itu.
Beliau disambut MP Serdang, Ong Kian Ming dan ketua pentadbir
ibupejbat DAP, Chu Yoon Ming.
Bagaimanapun, perbincangan mereka tidak berjalan dengan baik. Razlan bertindak mengoyakkan memorandum itu dan melemparnya kepada Kian Ming (gambar di bawah) dan keluar dari situ.
Apabila hujan mula turun, kumpulan itu berkumpul bawah jambatan di sebelah ibu pejabat DAP dan beredar dari situ bila hujan reda.

Post a Comment