Home » » Prk Bukit Gelugor : Saya Bukan Proksi BN - Datuk Huan

Prk Bukit Gelugor : Saya Bukan Proksi BN - Datuk Huan

Written By Unknown on 12/05/2014 | 1:26 pm

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan, 53, menafikan bahawa parti itu adalah proksi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor.

"Saya hanya bertanding atas tiket PCM dan bukan proksi kepada BN," katanya kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada sidang akhbar di perkarangan Dewan Sri Pinang hari ini, mendakwa BN menghantar proksi untuk bertanding pada pilihan raya kecil ini.

Pada pilihan raya kecil ini, Huan akan berhadapan calon DAP, Ramkarpal Singh, 38, dan dua calon Bebas iaitu Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar, 63, dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan, 46.

Ditanya tentang harapannya pada pilihan raya kecil ini, Huan yang mengakui berdepan laluan sukar hanya berharap beliau tidak hilang wang deposit.

"Walaupun sukar tetapi kami (PCM) akan cuba sedaya upaya untuk meraih sokongan pengundi...dengan kekuatan jentera yang kecil iaitu 100 orang kami akan berkempen dari rumah ke rumah.

"Saya juga akan turun padang mendekati penduduk serta mengambil tahu masalah mereka," kata Huan.

Sementara itu, anggota PAS yang bertanding atas tiket bebas menggunakan simbol bunga, Mohamed Nabi Bux dan seorang lagi calon bebas yang menggunakan simbol kuda, Abu Backer Sidek berjanji untuk membantu rakyat Pulau Pinang sekiranya menang pada pilihan raya kecil ini.

"Masih ramai rakyat negeri ini khususnya penduduk di kawasan Parlimen Bukit Gelugor yang memerlukan khidmat saya," kata Abu Backer Sidek, seorang peguam berasal dari Kampung Makam, di sini.

Mohamed Nabi Bux pula menyatakan pendirian akan memperjuangkan nasib rakyat negeri ini.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP akibat nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas.

Pengundian bagi pilihan raya kecil ini ditetapkan pada 25 Mei.

Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Karpal Singh memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 42,706 undi mengalahkan calon BN Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi.

- Bernama

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger