DESARU – Pihak pengurusan Lotus Desaru Beach Resort di sini bertindak segera menurunkan serta-merta kubah di bangunan yang mencetuskan kontroversi di dalam kawasan mereka semalam kerana ia dikatakan menghina Islam bagi mengelakkan kekeliruan berterusan.
Wartawan Mynewshub.my yang berada di resort sejak awal pagi tadi mendapati bangunan yang didakwa sebagai tandas yang menyerupai masjid sebenarnya turut digunakan sebagai bilik persalinan, tempat mengedar tuala dan pejabat selain tandas di resort berkenaan.
Tinjauan mendapati tiga kubah yang menjadi isu didakwa menghina Islam telah dibawa turun dan dibiarkan kosong.
Penjelasan terperinci diberikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Lotus R. Indra Ghandi dan Pengurus Tempahan Lotus Desaru Nor’ Azman Samsudin kepada Mynewshub.my.
Menurut Nor’Azman, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari PEKIDA hadir ke resort berkenaan untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka tetapi mereka diberi penjelasan terperinci oleh pihak pengurusan hotel.
Menurut mereka, sejak semalam resort berkenaan menjadi tumpuan para wartawan media arus perdana untuk mendapatkan kisah sebenar berkenaan kontroversi bangunan itu.
Beberapa blog pro-pembangkang melaporkan bahawa bangunan berkenaan dibina dengan kubah dengan tujuan menghina Islam kerana ia dilihat menyerupai sebuah masjid tetapi ia digunakan sebagai tandas.
Menurut Indra, bangunan berkenaan merupakan bangunan asal sejak tahun 1990-an ketika itu resort dikenali sebagai Impian Desaru Beach Resort sebelum pengurusannya diambil alih oleh kumpulan Lotus.
Segalanya tercetus semalam apabila pihak hotel diminta menanggalkan kubah berkenaan oleh pihak Polis Diraja Malaysia Bandar Penawar setelah ia tersebar secara meluas di beberapa laman blog dan media sosial.
Jika dilihat dari segi kubah bangunan itu, ia tidak menyerupai langsung kubah yang kebiasaannya terdapat di bangunan tempat beribadat orang Islam seperti surau atau masjid.
Indra berkata jika sebelum ini pun ada pihak meminta untuk menanggalkan kubah berkenaan kerana rekabentuknya yang menyentuh sensitiviti umat Islam sudah pasti pihak resort akan bertindak segera.
BERITA LANJUT MENYUSUL – MYNEWSHUB.MY
Post a Comment