Home » » Hudud Jadikan Anwar Bingung

Hudud Jadikan Anwar Bingung

Written By Unknown on 07/05/2014 | 8:00 am


Bukan sedikit dan bukan kecil masalah yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat pada hari ini walaupun pakatan itu menafikan mentah-mentah yang mereka menghadapi masalah.

Isu pemilihan CEC DAP masih belum selesai dan desakan semakin hebat kedengaran agar ROS tidak membenarkan parti itu bertanding dalam PRK Gelugor dan Teluk Intan dan mana-mana PRK atau PRU akan datang sekiranya tiada penyelesaian.

Pemilihan PKR pula menyaksikan kegagalan total kepimpinan dalam mentadbir dan mengurus parti serta kerosakan jiwa yang kronik di mana tiada langsung sifat tanggungjawab, amanah dan telus di kalangan mereka yang terlibat. Apa yang dapat dilihat hanyalah kerakusan, tamak haloba, permusuhan, dan kesanggupan untuk melakukan apa saja demi kuasa.

Jika CEC DAP dimanipulasi secara senyap melalui kiraan komputer, penipuan PKR pula terserlah secara fizikal dengan kerusi berterbalikan dan kertas berterbangan. Pemimpin tertinggi kedua-dua parti DAP dan PKR nampaknya gagal menyelesaikan masalah parti masing-masing.

Dalam keadaan sebegini, Ketua Pembangkang seharusnya memainkan peranan untuk mendesak kepada penyelesaian secara tegas dan tuntas.

Malangnya, Ketua Pembangkang, iaitu Anwar Ibrahim, tidak mampu berbuat apa-apa. Anwar nampaknya benar-benar buntu dalam menjalankan tugasnya sebagai ketua jauh sekali pemimpin.

Tindakan PAS membangkitkan isu hudud untuk dibawa ke parlimen menambahkan lagi kekusutan dalam Pakatan Rakyat.

PAS berdegil ingin melaksanakan hudud manakala DAP dan PKR bertegas untuk menolaknya mentah-mentah. Namun di masa yang sama ketiga-tiga parti menafikan yang mereka mempunyai masalah dan cuba memperlihatkan seolah-olah isu hudud hanyalah permainan UMNO untuk memecahbelahkan mereka.

Penafian ini tentu saja tidak membantu menyelesaikan apa-apa, sebaliknya membuatkan Anwar sebagai Ketua, yang telah sedia buntu, menjadi bingung.

Anwar benar-benar terjerat dalam permainan ketiga-tiga parti dalam pakatan. Menyebelahi DAP akan membuatkan PR kehilangan undi Melayu manakala menyebelahi PAS pula akan menyebabkan kehilangan undi bukan Melayu.

Dalam keadaan di mana dirinya sendiri mempunyai masalah peribadi berkaitan mahkamah, Anwar kini benar-benar kehilangan arah. Segala karisma yang dimilikinya semakin terpadam. Segala lakonan sebagai pemimpin berkredibiliti kini hancur. Malah, khabarnya, Anwar sedikit pun tidak dilayan oleh orang ramai ketika menghadiri sebuah kenduri baru-baru ini.

Publisiti yang cuba diraih setiap hari tidak lagi memberi apa-apa makna. Biarpun namanya terus terpampang di dada akhbar, namun ia tidak memberi impak kepada dirinya, parti mahupun negara. Kemunculannya di pentas politik hanya sebagai satu kenyataan bahawa demokrasi cukup segar di Malaysia, begitu juga dengan hak kebebasan bersuara. Anwar kini bukan lagi ‘sesiapa’.

Mungkin apa yang berlaku ke atas Anwar adalah akibat dari gemar bermain dengan isu agama.

Antaranya, Anwar pernah berkata bahawa undang-undang pengharaman homoseksual adalah lapuk dan Anwar juga berdolak dalih dalam isu hudud. Anwar cukup konsisten menyokong gerakan liberalisasi dan pluralisme di pentas-pentas luar negara tetapi amat berhati-hati dalam memperkatakan mengenainya ketika di Malaysia. Anwar merupakan salah seorang yang menandatangan Annapolis Summit yang mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan Anwar juga pernah menyokong ‘perlindungan ke atas Israel’.

Pendirian Anwar yang bertentangan dengan apa yang ditonjolkan di hadapan umat Islam di negara ini akhirnya memberi kesan kepada mental dan juga fizikal beliau. Penampilan Anwar semakin hari semakin kusut dan sesiapa sahaja dapat mengesan yang beliau kini kebingungan.

Apa yang berlaku pada Anwar adalah akibat dari perbuatannya sendiri. Tiada siapa yang dapat membantu beliau untuk pulih kembali, melainkan dirinya sendiri. Mungkin, Anwar perlu memohon agar hukuman hudud dikenakan ke atas dirinya bagi membolehkan beliau kembali tenang. Lagipun, bukankah Anwar juga yang begitu giat menjaja soal 4 saksi berikutan tuduhan liwat ke atasnya?

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger