PAS Selangor memberi jaminan akan mengambil tindakan ke atas ahli parti itu yang didapati membuat kutipan haram ke atas peniaga pasar malam dan pasar pagi di negeri itu.
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, terdapat khabar angin ada ahli PAS menuntut wang daripada peniaga pasar malam dan pasar pagi di Selangor.
“PAS Selangor belum menerima apa-apa laporan atau bukti berhubung khabar angin tersebut.
“Jika terdapat bukti kukuh, PAS Selangor akan memanggil mana-mana ahli PAS yang membuat kutipan haram untuk memberi penjelasan dan kemungkinan tindakan diambil,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Khairuddin bagaimanapun percaya ahli PAS yang menganggotai Jawatankuasa Penduduk (JKP) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidak melakukan perkara terkutuk itu
Menurutnya, JKP dan JKKK yang menguruskan pasar-pasar terbabit mengumpul dana daripada pengurusan itu untuk membiayai program penduduk setempat.
Namun, PAS Selangor menerima keputusan kerajaan negeri supaya pentadbiran pasar malam dan pasar pagi diserahkan semula kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berikutan insiden itu.
“Dorongan utama JKP dan JKKK menguruskan pasar malam dan pasar pagi agar kehadiran mereka dirasai rakyat dan untuk memastikan tiada anasir tidak diingini menyusup kawasan mereka,” katanya.
Sebuah akhbar keluaran Selangor baru-baru ini melaporkan terdapat ahli politik membuat kutipan haram ke atas peniaga pasar malam dan pasar pagi di negeri itu. – mynewshub.my
Post a Comment