Misi merentasi Greenland akhirnya tiba ke peringkat akhir di mana kesemua lapan peserta yang terpilih akan memulakan perjalanan mereka bermula esok hari.
Menurut Ketua Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Felda Greenland 2014, Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin, peserta misi akan mula bertolak ke London keesokan hari dan akan berlatih buat kali terakhir di Iceland, Sabtu ini.
Misi yang dijadualkan akan berlangsung dari 25 April hingga 20 Mei ini melibatkan lapan peserta iaitu Yanizam Mohd Supiah selaku Ketua Penjelajah, Abdul Rahman Abu Hassan (Penolong Ketua Penjelajah), Tahira Najmunisaa Mohd Zaid, Mohd Akasyah Jamaludin, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, Shaiful Hisham Abd Aziz, Muhammad Musaddiq Samsudin dan Muhd Hafizuddin Abdul Muthalib.
Mereka akan diiringi seramai tiga jurulatih serta lima krew sokongan sepanjang misi tersebut.
Sebelum ini, pasukan tersebut telah beberapa kali berlatih untuk menghadapi cabaran cuaca sejuk melampau antaranya di Snow Walk, i-City, Shah Alam, dan Gunung Aspiring, Pergunungan Franz Joseff Glasier, New Zealand.
Tujuan misi ini diadakan adalah untuk membuktikan rakyat Malaysia juga mampu berdepan cabaran selain menyahut cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu melihat anak-anak muda Malaysia terus melakar pelbagai kejayaan cemerlang demi menaikkan imej negara di mata dunia dan di samping itu turut menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Ekspedisi yang dijangka memakan masa selama 28 hingga ke 35 hari ini merupakan kali kelima yang dianjurkan oleh Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B).
Sebelum ini, KE7B pernah menganjurkan Ekspedisi Berbasikal dan Bermotosikal ke 21 buah negara, Ekspedisi 7 Summits 2010-2014, Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012 dan Ekspedisi Everest Felda 2013.
Menurut Muqharabbin atau Qobin, peserta telah dilatih untuk menghadapi pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku dan antaranya cabaran hebat yang perlu dihadapi ialah cuaca sejuk melampau selain serangan beruang kutub.
Cabaran yang bakal dihadapi peserta ialah berjalan kaki dan menggunakan ski menggunakan laluan Ammasalik ke Sondre Stromfjord (Kangelussuaq).
“Mereka telah dilatih untuk apa sahaja cabaran dan antara cabaran ialah cuaca yang tidak menentu selain serangan beruang kutub dan (untuk tujuan itu) peserta telah belajar menembak dengan PDRM,” katanya kepada Mynewshub.my ketika ditemui semasa sesi penyerahan Jalur Gemilang kepada peserta misi Greenland 2014 di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim yang turut merasmikan Ekspedisi Greenland 2014 dengan gimik memecahkan bongkah ais yang disediakan selain penasihat ekspedisi, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof @ Mokhles.
Kejayaan yang bakal diraih peserta misi ini akan diabadikan dalam Malaysia Book of Records sebagai kumpulan pertama dari Malaysia yang berjaya merentasi Greenland.
Kepulangan mereka juga dijadualkan bakal disambut Najib di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelak.
Program ini mendapat kerjasama penuh daripada Kumpulan Felda, Kerajaan Negeri Kedah dan RHB Berhad.- MYNEWSHUB.MY
Oleh: JULIANA JOHAR
Foto dan Video: RIZA RAZAK
Post a Comment