Home » » Terkini ; Remaja Tercampak Rempuh Kereta ADUN

Terkini ; Remaja Tercampak Rempuh Kereta ADUN

Written By Unknown on 23/04/2014 | 1:51 pm



ALOR GAJAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal Datuk Ab Wahab Ab Latip terselamat manakala seorang lelaki parah selepas mereka terbabit kemalangan di Jalan Durian Tunggal-Gangsa, Durian Tunggal, dekat sini, semalam.

Kemalangan jam 10.45 pagi itu dipercayai berpunca apabila Honda Accord dipandu Ab Wahab dalam perjalanan dari rumahnya ke Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal, di sini dirempuh motosikal Yamaha LC135 ditunggang Kamarul Zaman Ithnin, 18.
Menurut sumber, rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak di atas jalan raya dan parah selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki, tangan serta dada.

“Ketika itu dipercayai kenderaan ADUN berkenaan memberi isyarat untuk membelok ke kiri, namun motosikal terbabit yang turut berada di sebelah kiri terlanggar cermin sisi kereta itu sekali gus menyebabkannya tercampak,” katanya ketika ditemui di sini.

Ab Wahab yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri berkata, beliau hanya menyedari mengenai kemalangan itu selepas terasa gegaran pada bahagian kiri keretanya.

“Sebaik turun selepas memberhentikan kenderaan, saya lihat penunggang motosikal itu terbaring di atas jalan raya dan mengerang kesakitan.
“Saya bersama orang awam menghulurkan bantuan dan cuba mententeramkan mangsa sementara menunggu bantuan kecemasan tiba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Menurutnya, kemalangan itu adalah yang pertama menimpanya dan beliau masih terkejut dengan kejadian berkenaan.

“Saya bersimpati dengan nasib mangsa dan berharap serta mendoakan supaya dia selamat selepas menerima rawatan,” katanya.

Jurucakap Hospital Melaka berkata, mangsa yang parah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan kerana mengalami pendarahan di bahagian dalaman sebelum dirujuk ke Hospital Selayang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.


Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger