Susulan tindakan bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang dilihat mahu memulakan langkah untuk kembali rujuk, Erra Fazira memohon agar dirinya tidak didesak selain berharap pihak tersebut menghormati privasinya.
Emran, 39, baru-baru ini telah memuat naik gambar anak mereka, Engku Aleesya, 5, yang memakai tshirt bertulis #prayformomandayah di laman Instagramnya beserta meluahkan hasratnya untuk memenangi semula hati Erra kerana mengakui masih lagi mencintai bekas isterinya itu.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Erra menerusi mStar Online berkata,“tolong hormati privasi saya. Tiada ibu bapa yang tidak mahu membahagiakan anak”.
“Tanggungjawab dan amanah (menjaga anak) tetap dikendong. Jangan desak saya,” katanya lagi.
Peminat setia penyanyi dan pelakon popular itu turut mendoakan agar hubungan mereka kembali bersatu demi kebahagiaan anak tunggal mereka selepas mengetahui perancangan Emran dan Aleesya untuk menawan kembali hati Erra.
“Satu Malaysia boleh berdoa tetapi Allah lebih mengetahui. Saya mohon sangat-sangat, saya tahu apa yang saya lalui. Tolonglah hormati privasi saya dan doakan saja yang terbaik,” ujarnya lagi.
Untuk makluman, Erra, 40, dan Emran, 39, mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007 namun telah disahkan bercerai pada 18 Februari lalu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, dengan talak satu. -MYNEWSHUB.MY
Post a Comment