Kuala Lumpur – Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendesak supaya Mohamed Azmin Ali dibatalkan penyertaannya dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden PKR.
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che Gu Bard menegaskan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR perlu mengambil tindakan tegas terhadap Azmin berikutan dakwaan yang mengatakan timbalan presiden itu bersama pasukannya melakukan penipuan ketika proses pemilihan di beberapa cabang di Sarawak.
Katanya, berdasarkan laporan yang telah dibuat oleh pasukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, JPP perlu bertindak tegas terhadap Azmin.
“Perkara ini pernah berlaku pada pemilihan 2010 dan telah dilaporkan namun tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap Azmin.
“Kali ini, dengan bukti yang ada melibatkan pemilihan di Cabang Batang Sadong, saya berpandangan Datuk Johari Abdul dan jawatankuasa MPP perlu mengambil tindakan tegas dengan membatalkan penyertaan Azmin,” katanya kepada Astro AWANI.
Katanya, rakyat mengikuti dengan penuh minat pemilihan pimpinan PKR dan akan membuat penilaian berdasarkan apa yang berlaku.
Badrul berkata selama ini, PKR mengkritik proses pilihan raya yang dikendali Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa banyak penipuan dan salah urus.
Justeru kata beliau, JPP perlu bertindak tegas ke atas penipuan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam pemilihan kali ini.
“Kita perlu membuktikan kepada rakyat yang bahawa kita serius menentang penipuan dalam pilihan raya dengan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.
“Rakyat memerhatikan pemilihan PKR, jangan kita buat perkara yang kita kecam dan kita kutuk bila lawan kita lakukan tetapi kita juga tidak kurang ‘hebat’ dalam membuat silap mata,” katanya.
Badrul dan beberapa lagi aktivis PKR yang tidak bersama pasukan Azmin sejak malam tadi mula menjalankan kempen supaya timbalan presiden PKR itu dibatalkan pencalonannya.
Post a Comment