KUALA LUMPUR 26 April - Jalan ditutup, penembak tepat di atas bumbung serta puluhan kenderaan pengiring termasuk kenderaan berperisai dinaiki ejen perkhidmatan rahsia di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang dekat sini, sudah cukup menggambarkan betapa ketatnya kawalan keselamatan yang diberikan sempena lawatan tiga hari Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke negara ini, bermula hari ini.
Malah petugas media yang ditugaskan membuat liputan ketibaan Obama di pangkalan udara itu kira-kira pukul 4.50 petang ini, turut dapat merasai bahang kedatangan pemimpin nombor satu di AS itu.
Petugas media bukan sahaja perlu tiba dua hingga tiga jam lebih awal untuk pemeriksaan keselamatan, malah perlu melalui lima tapisan keselamatan sebelum dibenarkan masuk ke dalam balai ketibaan dan itu pun, perlu berada di tempat yang dikhaskan untuk media.
Sebaik sahaja masuk ke kawasan meletak kereta, petugas media terus diperiksa oleh ejen perkhidmatan rahsia AS yang menggunakan anjing German Shepherd dan perlu melepasi tapisan nama daripada pegawai Jabatan Penerangan yang diiringi pasukan keselamatan AS semasa pendaftaran petugas media.
Petugas media juga perlu menjalani pemeriksaan badan menggunakan alat pengesan logam dan perlu melepasi satu lagi tapisan keselamatan sebelum diberikan pas White House Press Pool untuk masuk ke sebuah bilik dikhususkan untuk media dan tidak boleh keluar selepas itu.
Apabila pesawat Air Force One yang membawa Obama tiba di pangkalan udara itu, barulah petugas media dibawa ke kawasan landasan tetapi diletakkan di dalam satu kawasan berpagar yang jaraknya lebih 20 meter dari kenderaan yang akan dinaiki Presiden AS itu.
Begitu juga semasa Obama diberikan sambutan negara di bangunan Parlimen, orang ramai yang berada di situ akan diperiksa oleh ejen perkhidmatan rahsia AS sehingga beg tangan wanita juga akan diselongkar bagi memastikan tiada objek terlarang dibawa masuk.
Semasa majlis santapan diraja bersama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara pukul 8 malam ini, petugas media perlu tiba untuk pemeriksaan keselamatan sebelum pukul 5 petang.
Petugas media yang membuat liputan mesyuarat dua hala antara Obama dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana, Putrajaya esok juga perlu tiba hampir empat jam lebih awal dan perlu mendapat perakuan daripada polis untuk membawa apa jua barang ke tempat tersebut.
Selain program itu, Presiden AS itu dijadual merasmikan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya esok sebelum berlepas ke Manila, Filipina, keesokannya.
Kunjungan Obama ke Malaysia merupakan sebahagian daripada lawatan Obama ke empat negara Asia yang turut melibatkan Jepun, Korea Selatan dan Filipina.
Ini merupakan kunjungan yang pertama oleh seorang Presiden AS dalam tempoh 50 tahun selepas lawatan kali terakhir oleh Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.
Isu Calon Perdana Menteri Kembali Menjadi Tegang Di Kalangan Pemimpin PN
-
Isu Calon Perdana Menteri Kembali Menjadi Tegang Di Kalangan Pemimpin PN
Ibarat lebih sudu dari kuah, isu calon perdana menteri dari Perikatan
Nasional...
21 hours ago
Post a Comment