Home » » #MH370 ; Kenapa Tiada Yang Berani Salahkan "Boeing" ?!!

#MH370 ; Kenapa Tiada Yang Berani Salahkan "Boeing" ?!!

Written By Unknown on 04/04/2014 | 11:41 pm


Walaupun pencarian MH370 melibatkan kerjasama antarabangsa, kehilangan pesawat tersebut masih menjadi misteri. Kesemua 26 negara yang terlibat dalam misi ini hanya mampu meneka dan terus mencari. Semua petunjuk ternyata hampa. Semua satelit, radar, kapal, kapalselam, kapalterbang yang digunakan dalam SAR telah gagal mengesan pesawat itu mahupun serpihannya.

Ini bukan kegagalan kerajaan Malaysia, ataupun MAS. Malah, rasanya tidak salah untuk menyatakan bahawa ini adalah kegagalan teknologi paling canggih yang kebanyakannya dicipta dan dimiliki oleh kuasa besar dunia, iaitu Amerika Syarikat.

Sejak pesawat tersebut hilang, Malaysia telah menjadi sasaran kritikan media asing. Pembangkang juga pantas merebut peluang untuk memperlekeh kerajaan. Akibatnya, mereka berjaya menggoyahkan hubungan Malaysia-China, yang mana kemungkinan besar merupakan objektif mereka sejak dari mula.

Kelewatan serta sikap tidak bersungguh-sungguh kerajaan China untuk menjernihkan keadaan menggandakan kekecewaan kita. Dengan majoriti penumpang merupakan warga China, sekurang-kurangnya kita menjangka kerajaan mereka dapat membantu Malaysia memberikan penerangan yang jelas dan tegas kepada rakyatnya.

Namun, Malaysia tidak menuding jari atau merungut. Kita menerima segala-galanya, terus berusaha menjelaskan keadaan sebaik mungkin sambil berikrar akan terus mencari. Jika ini bukan bukti kebolehan dan professionalisme kerajaan, maka apakah ia?

Jika media asing mempunyai tahap professionalisme yang sama, mereka pasti tahu bahawa ‘kebolehan menangani media’ bukanlah isu di sini. Kerana itu kita tidak mendengar tuduhan ‘menyembunyikan maklumat’ atau ‘lemah’ terhadap kerajaan Perancis apabila pesawat Air France terhempas pada tahun 2009. Kita tidak mendengar sesiapa mempersoalkan masa yang diambil untuk mencari serpihan AF447, iaitu dua tahun – walaupun Perancis mempunyai semua aset dan kepakaran yang diperlukan.

Justeru, kenapa ‘kerajaan Malaysia’ menjadi subjek laporan, dan bukannya ‘pencarian pesawat’? Kenapa ‘menangani media’ lebih penting dari ‘kenapakah, dengan segala kecanggihan teknologi digunakan, kita masih tidak menemui apa-apa’?

Sebagai negara kecil yang sedang membangun, Malaysia mengambil sikap merendah diri dan mengakui kekurangan dari segi kepakaran, aset dan teknologi dalam menghadapi bencana ini. Mungkin juga kita sedikit keliru dalam menangani masalah ini tetapi itu adalah kerana kita tidak pernah menghadapi masalah sebegini sebelum ini. Justeru, kita pantas menerima apa saja jenis bantuan yang ditawarkan oleh semua negara. Tidak ada satu pun bantuan yang ditolak.

Daripada semua negara yang menghulurkan bantuan, Malaysia meletakkan harapan tinggi terhadap kuasa besar dunia, iaitu Amerika. Memandangkan pesawat Boeing adalah buatan Amerika, maka kita percaya, jika ada pihak yang mampu mencarinya, ia pastinya Amerika. Jelas sekali, kita telah tersilap.

Oleh yang demikian, daripada kita mencurigai juruterbang, penumpang mahupun pemimpin Malaysia, mungkin kita seharusnya mencurigai Amerika. Media asing wajar mempersoalkan apa yang telah sebenarnya terjadi kepada semua satelit Amerika yang begitu hebat pada 8hb Mei 2014?

Pelik sekali apabila Amerika mampu mengesan Osama Bin Laden dan Saddam Hussein di dalam lubang yang tersembunyi tetapi tidak mampu mengesan Boeing 777 di langit terbuka dan lautan yang terbentang luas! Apakah Amerika boleh menjelaskan kenapa satelit mereka gagal mengesan apa-apa sedangkan satelit negara China dan Australia sekurang-kurangnya mampu memberi kita sedikit harapan?

Jika ada unsur ‘kelemahan’ dalam kehilangan MH370, maka kelemahan itu nampaknya terletak pada Amerika, iaitu pada syarikat Boeing Commercial Airplanes dan kerajaan Amerika sendiri.

Nampaknya, pesawat canggih Boeing 777 mungkin tidak sehebat yang diperkatakan. Pada 6 Julai 2013, Asiana Airlines pesawat 214 Boeing 777 telah terhempas ketika melakukan pendaratan di dalam cuaca yang cerah dan baik. Kemalangan itu telah menyebabkan 3 orang penumpang meninggal dunia. Tiada penjelasan dapat diberikan tentang kenapa seorang juruterbang dengan 20 tahun pengalaman tidak dapat mengesan kelajuan yang menurun ketika melakukan pendaratan.

Asiana kemudian merekodkan bahawa sistem isyarat automatik Boeing 777 mungkin merupakan penyebabnya. Syarikat itu mencadangkan agar Boeing menukar sistem tersebut agar dapat memberikan isyarat sekiranya pesawat menukar kelajuan secara drastik daripada kelajuan yang diperlukan. Isu ini telah mendapat perhatian pihak berkuasa dalam penerbangan Eropah dalam melakukan ujian penerbangan ke atas Boeing 787 yang menggunakan sistem yang sama.

Apa yang ingin ditekankan di sini ialah, tidak mustahil MH370 mengalami kegagalan sistem total di mana semua isyarat kecemasan telah tidak berfungsi sepenuhnya.

Kepakaran hanya boleh diperolehi dengan belajar dari kesilapan. Namun, MAS tidak pernah mempunyai ‘peluang’ itu kerana ia terkenal dengan rekod keselamatan yang cemerlang. Syarikat ini juga berbangga dengan juruterbang serta krew yang terbaik di dunia. Walaubagaimanapun, kita hanya mampu berharap yang rekod ini kekal sedangkan adakalanya apa yang berlaku adalah diluar kawalan dan kemampuan kita.

Malaysia baru pertama kali menghadapi situasi yang begitu kompleks sebegini, tetapi ia bukan pertama kali bagi Amerika. Ingatlah bahawa Amerika telah gagal mengesan pesawat yang melanggar World Trade Center. Berdasarkan pengajaran dari kejadian itu, Amerika telah meningkatkan kesemua aset mereka sehingga ke tahap yang dilihat sebagai ‘paranoid’ bagi memastikan ia tidak berlaku lagi. 

Amerika telah memastikan yang mereka mampu mengesan musuh sebelum musuh merancang untuk menjejakkan kaki ke Amerika lagi. Justeru, kita hairan, dengan semua teknologi ini, kenapakah kita masih lagi tidak menemui MH370?

Kesimpulannya, media asing perlu berhenti menghentam Malaysia semata-mata untuk menjaga air muka Amerika. Sebaliknya, mereka harus mula bertanyakan soalan yang sepatutnya seperti, “apakah wang yang gunakan untuk meningkatkan teknologi pertahanan Amerika benar-benar berbaloi?”

Share this article :

+ comments + 2 comments

4/05/2014 4:03 am

Malaysia mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan China dan perkara ini sangat dibenci oleh AS dan sekutunya. Inilah peluang terbaik AS untuk menggoyahkan hubungan baik Malaysia-China termasuklah peristiwa perculikan di Sabah. Banyak agenda buruk AS dan Yahudi gagal akibat hubungan ini termasuklah untuk mengambilalih urusan Petronas di Sudan. Mereka akan sentiasa mencipta peluang untuk merosakkan hubungan ini termasuklah menggunakan Singapura dan musuh dalam selimut iaitu DAP dan PKR. Mereka melihat Kerajaan sekarang sangat lemah akibatkan Najib masih mengamalkan sikap playsafe dan cintakan puji-pujian. Najib lupa dia hampir tewas di Pekan satu ketika dulu akibat sikap yang terlalu percayakan orang sekeliling dan sukakan pujian.

4/05/2014 4:12 am

Dalam kes MH370 Najib terlalu playsafe untuk menjaga hati AS. Apa guna komando Malaysia yang setiap hari berlatih untuk pertahankan negara? Adakah sebagai perhiasan? Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai..

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger