KUALA LUMPUR 7 April – Rakyat diminta tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang kononnya pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh dimansuhkan sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan.
Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) berkata, pemimpin-pemimpin pembangkang memberi gambaran kurang tepat apabila mendakwa pelaksanaan GST di beberapa negara seperti Kanada dan Australia merupakan faktor yang membawa kepada peralihan parti yang memerintah.
Menurut beliau, andaian itu dibuat berdasarkan kepada kejayaan Parti Liberal yang berpendirian anti-GST menewaskan Parti Progresif Konservatif pimpinan Brian Mulroney pada pilihan raya Kanada 1993.
“Perlu diingat bahawa Parti Liberal pimpinan Jean Chretien bukan sahaja memungkiri janji untuk memansuhkan GST malah meneruskannya sehingga menyebabkan dua ahli Parlimen dari parti tersebut iaitu Sheila Copps dan John Nunziata meletak jawatan.
“Kerajaan Kanada selepas itu sehingga di bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang, Stephen Harper tidak berani memansuhkan GST,” katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang GST 2014 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Ahmad Fauzi, situasi sama turut berlaku di Australia apabila Perdana Menteri selepas John Howard iaitu Kevin Rudd, Julia Gillard dan Tony Abbott tidak memansuhkan pelaksanaan GST.
Malah, jelas beliau, Parti Liberal pimpinan Howard yang berkempen menentang GST pada pilihan raya Australia 1996 telah melaksanakan sistem percukaian itu pada 1 Julai 2000.
“Sekiranya Kanada dan Australia menjadi rujukan oleh pakatan pembangkang dalam isu GST, maka saya cukup yakin mereka juga akan melakukan perkara yang sama iaitu pura-pura menolak GST tetapi setelah memegang kuasa, mereka akan meneruskannya,” ujarnya.
Baca juga d SINI
Post a Comment