Home » » AUDIT: Kementerian Pendidikan Perlu Tegas, HANYA 61.4 Peratus Penyelidikan Siap

AUDIT: Kementerian Pendidikan Perlu Tegas, HANYA 61.4 Peratus Penyelidikan Siap

Written By Unknown on 08/04/2014 | 9:00 am

science_labs

Kementerian Pendidikan perlu tegas dalam memantau pencapaian fizikal dan prestasi kewangan bagi projek-projek di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) agar dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, Siri 1.

Laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat Isnin mendedahkan hanya 61.1 peratus iaitu 1,309 projek penyelidikan yang telah siap daripada 2,144 yang diluluskan pada 2010.

Sehingga Ogos tahun lepas pula hanya 19 peratus iaitu 98 projek penyelidikan tahun 2011 yang telah siap daripada 517 yang diluluskan.

Ketua Audit Negara turut mengesyorkan kementerian mengadakan garis panduan dan mekanisme yang jelas berkaitan pengurusan baki dana dan memastikan rekod itu dikemas kini di IPTA dan kementerian, selain memberi geran baharu dengan menggunakan semula baki dana penyelidikan di IPTA.

Laporan itu juga mendedahkan hanya 64.9 peratus iaitu RM27.95 juta telah dibelanjakan bagi projek penyelidikan tahun 2011 daripada RM43.06 juta yang diperuntukkan kepada kementerian berkenaann.

Laporan turut membangkitkan risiko kehilangan aset penyelidikan dan penyalahgunaan ekoran Pusat Pengurusan Penyelidikan kurang memberi perhatian kepada aspek perolehan, pendaftaran dan penyimpanan.

“Para penyelidik pula menganggap aset yang digunakan oleh mereka semasa menjalankan kerja penyelidikan sebagai aset yang dihabis guna dan tidak perlu dipulangkan kepada IPTA,” kata laporan itu.

Justeru, Ketua Audit Negara mengesyorkan kementerian itu atau IPTA memastikan aset yang dibeli menggunakan dana penyelidikan dikawal dengan berkesan dan disokong dengan rekod yang dikemas kini serta mewujudkan peraturan jelas tentang penggunaannya.

“Langkah ini bagi mengatasi aset tidak disalah guna dan dipulangkan setelah tamat projek serta dapat digunakan untuk projek penyelidikan yang lain bagi penjimatan perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, maklum balas Kementerian Pendidikan yang diterima pada 31 Dis 2013 dan 18 Feb 2014 menyatakan projek penyelidikan dengan peruntukan RM30,000 ke bawah tidak berupaya melatih graduan doktor falsafah (PhD) dan sarjana, kerana keperluan minimum ialah antara RM18,000 hingga RM24,000 setahun.

Antara penambahbaikan yang sedang dilaksana ialah penggunaan sistem pemantauan dalam talian (sistem MyGRANTS) supaya analisis perbandingan hasil projek yang sepatutnya dicapai berbanding pencapaian sebenar dapat dilapor secara berterusan.

mynewshub
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger