AGENSI berita CNN yang cukup terkenal di arena kewartawanan dunia, pada 14 Mac lepas telah menemubual seorang bekas pegawai Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat berkenaan kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Bekas anggota CIA itu Robert Baer juga merupakan Penganalisis Keselamatan Amerika Syarikat untuk CNN.
Dalam video temubual berkenaan yang berada di laman YouTube sejak 14 Mac lepas, Robert dengan jelas mengutuk Malaysia dengan mengatakan beliau tidak mempercayai Malaysia kerana ia merupakan sumber berita yang lemah.
“Saya tidak mempercayai Malaysia pada masa ini, mereka memberi banyak kenyataan dan informasi bercanggah yang tidak benar, mereka bukanlah sumber informasi yang baik.
“Mereka ketika ini amat malu dengan apa yang terjadi, mereka kehilangan sebuah pesawat.. kejadian ini mencalarkan maruah Malaysia.. Ia juga adalah bencana politik dan kerajaan Malaysia sedang berdolak-dalik menutup kebenaran yang ada,” kata Robert dalam segmen The Lead di CNN.
Bagaimanapun pada awal temubual, Robert berkata suatu ketika dahulu CIA berjaya mereka plot untuk merampas sebuah kapal milik Soviet Union dahulu kerana mahukan teknologi pesawat itu dan ia berjaya dilakukan.
“Pada sekitar 80-an, CIA kerap melihat kepada pesawat kesatuan Soviet yang moden.. Kami mahukan teknologinya.. Kita akan mendapatkan seorang juruterbang yang akan menerbangkan pesawat berkenaan keluar.
“Kami berjaya mendapatkan sebuah pesawat Soviet, juruterbang itu diarahkan untuk terbang di atas Lautan Hindi, membuat panggilan isyarat kecemasan “May Day”, juruterbang itu juga perlu membuat pergerakan menjunam ke paras ketinggian yang rendah.
“Juruterbang itu kemudiannya akan terbang ke sebuah pulau rahsia, CIA akan menutup pesawat itu bagi mengelakkan ia dikesan satelit sehingga pihak Soviet menghentikan pencarian pesawat berkenaan dan tidak menyedari teknologi pesawat itu sudah hilang,” katanya dalam temubual itu.
Sudahlah mengakui CIA sendiri pernah merencanakan satu rampasan pesawat, pada masa sama Robert mengatakan dakwaan bahawa pesawat MH370 dirampas adalah satu perbuatan dari pihak Malaysia untuk menutup maklumat sebenar adalah amat keji dalam temubual CNN ini. – MYNEWSHUB.MY
Post a Comment