STOCKHOLM – Ibu kepada kanak-kanak Malaysia yang dibicarakan di Sweden kerana memukul anak-anaknya, membuka aib keluarga di mahkamah kerana anak-anaknya bukan sahaja mempunyai kapasiti untuk berbohong tetapi memang berniat untuk berbuat demikian.
Shalwati Nurshal menafikan semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dengan berkata semua insiden yang dibangkitkan oleh anak-anaknya semasa temu bual bersama polis adalah disebabkan kekeliruan, sikap keterlaluan dalam beberapa kes dan pembohongan secara terang-terangan.
Ketika ditanya peguam Johan Kallus, yang mewakili kanak-kanak tersebut, sekiranya semua insiden tersebut adalah bohong, Shalwati mengakui hujah-hujah itu adalah berdasarkan kisah benar tetapi anak-anaknya memperbesarkan cerita dengan menggunakan perkataan keganasan.
Sweden telah mengharamkan hukuman pukul terhadap kanak-kanak sejak 1979 dan ini bermakna Shalwati dan suaminya Azizul Raheem Awalluddin berdepan sehingga enam tahun penjara jika didapati bersalah memukul anak-anak mereka.
Shalwati mendedahkan anak keduanya, Ammar, merupakan seorang yang sukakan perhatian dan kecewa kerana rakan-rakannya disekolah cenderung untuk meminggirkannya.
“Ammar tidak matang, dia fikir boleh jadi popular, terkenal, jika dia memberitahu rakan-rakannya dia dipukul di rumah.
“Apa lagi yang anda perlukan,” kata Shalwati, sambil menitiskan air matanya.
Ibu kepada empat orang anak itu turut mengulas bagaimana anak bongsunya, Ariff, tidak menyebut perkataan dipukul ketika sesi temu bual pertama dengan polis tetapi mengubah ceritanya dalam satu temu bual beberapa minggu kemudian.
“Dia mengagumi Ammar dan dipengaruhi oleh abang-abangnya. Lakaran rotan yang dilukisnya untuk polis adalah sesuatu yang sempurna, yang digunakan untuk memukul belakang Ammar ketika di Afrika Selatan,” kata Shalwati.
Peguam Shalwati, Kristofer Stahre bertanya jika anak sulungnya, Aishah mempunyai kapasiti untuk berbohong, memperlihatkan keluhan panjang daripada wanita itu.
Shalwati berkata Aishah mempunyai kecenderungan untuk berbohong bagi menutup perkara yang memalukannya sama seperti bagaimana Aishah berbohong mengenai tindakan dia mencuri coklat ketika dia cuba berdiet, dua tahun lalu.
Mengenai anak ketiganya, Adam, Shalwati berkata, dia mempunyai kecenderungan untuk menjadi keliru apabila disoal kerana dia mempunyai masalah pemahaman.
“Dalam temu bual itu, dia kelihatan keliru, dia tidak boleh mengingat tarikh dan menyebabkan pegawai-pegawai itu salah faham. Ia amat menyedihkan sebenarnya,” kata Shalwati.
Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul didakwa diatas kesalahan pelanggaran hak integriti kanak-kanak dengan memukul dan mendera mereka.
Kesalahan-kesalahan tersebut didakwa berlaku di rumah keluarganya di Spånga, pinggir bandar Stockholm, antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.
Perbicaraan disambung pada 10 Mac ini.
mynewshub
Post a Comment