Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang masuk minggu kedua, dengan pengesahan bahawa penerbangan yang tidak dikenali sebelum ini dikesan radar utama adalah Penerbangan MH370.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu persidangan akhbar di Sepang hari ini bahawa pesawat itu telah melencong dari laluan asalnya menuju Beijing, China, dan terus hilang sejak Sabtu lepas.
Sekalipun laporan media menyatakan pesawat itu telah dirampas, Najib
menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat segala kemungkinan tentang apa yang menyebabkan Penerbangan MH370 itu melencong.
Pihak berkusa dan pasukan penyiasat telah juga mendapat data baru
berhubung komunikasi terakhir pesawat itu dengan satelit, dan ini membuka fasa baru operasi mencari, termasuk menamatkan operasi di Laut China Selatan dan mengkaji semula kerahan aset.
Hasil siasatan itu dipersetujui Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA),
dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), kedua-duanya berpangkalan di AS; Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom; dan pihak berkuasa Malaysia, yang menyiasat berasingan terhadap data yang sama.
Berikutan perkembangan itu, Malaysia dan rakan-rakan antarabangsanya
memutuskan bahawa komunikasi terakhir pesawat itu dengan satelit adalah di satu daripada dua koridor yang mungkin – utara atau selatan.
Yang pertama, koridor utara meliputi kawasan kira-kira antara sempadan
Kazakhstan dan Turkmenistan hingga bahagian utara Thailand; atau kedua, koridor selatan meliputi kawasan kira-kira antara Indonesia hingga bahagian selatan Lautan Hindi.
Najib juga mendedahkan menurut data baru, komunikasi terakhir antara pesawat itu dengan satelit ialah pada 8:11 pagi waktu Malaysia 8 Mac, Sabtu.
Berikutan itu juga, pihak berkuasa Malaysia kini memfokus semula siasatan
terhadap kru dan penumpang.
Setakat hari ini, 14 negara, 43 kapal dan 58 pesawat terlibat dalam operasi
mencari.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan media antarabangsa bahawa Malaysia tidak prihatin terhadap keluarga penumpang MH370 dan kerana itu tidak menghantar wakil ke China.
MAS, dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata ia terus komited
sepenuhnya memperkongsikan informasi yang sahih dengn anggota keluarga dan orang ramai secara yang cukup terbuka dan telus berhubung kehilangan pesawat berkenaan.
Namun, memandangkan keadaan situasi, MAS berkata pentingnya mengesahkan maklumat baru sebelum disiarkan kepada khalayak ramai amat diutamakan.
Ia berkata prioriti mutlak MAS pada setiap masa ialah membantu pihak
berkuasa yang mengetuai operasi pelbagai negara mencari pesawat berkenaan supaya mereka akhirnya dapat memberikan jawapan yang begitu ditunggu-tunggu oleh keluarga berkenaan dan orang ramai.
– BERNAMA
+ comments + 2 comments
Kerajaan Najib sekali lagi gagal menangani krisis besar selepas krisis Lahad Datu.. Hishamuddin sekali lagi menteri yang bertanggungjawab untuk memyelesaikan krisis sebesar ini.. Kelembapan membuat keputusan menjadikan masalah ini berpanjangan.. Jangan terlalu play safe. Berterus terang lebih baik dari menyembunyikan fakta.. Mereka perlu ingat sekarang zaman maklumat di hujung jari.. Semakin lambat mereka menyampaikan fakta semakin banyak maklumat disebarkan.. Akhirnya kerajaan dipersalahkan dan pembangkang akan mengambil kesempatan.. KJ pulak sibuk nak bergaduh dengan bomoh.. Eloklah perangai masing-masing..
Dalam krisis melibatkan kepentingan negara, ada pulak menteri yang ambil kesempatan bergaduh dengan bomoh cap kelapa.. Shame on both of you.. Damn!!
Post a Comment