Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berjalan lancar seperti dirancang, kata Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred.
Beliau berkata, pelan tersebut menyaksikan penggunaan bekalan air hari ini 4,378 juta liter sehari (JLH) berbanding pengeluaran biasa sekitar 4,700 JLH iaitu pengurngan sebanyak 322 JLH,
“Pelan catuan bekalan air ini juga satu dorongan kepada pengguna untuk mengurangkan dan menjimatkan penggunaan air harian. Sehubungan itu, diharapkan agar pengguna dapat bekerjasama sepenuhnya untuk mengurangkan penggunaan air dan terus berjimat cermat dalam membolehkan bekalan air dapat bertahan lebih lama lagi,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Priscilla dalam pada itu mengulangi bahawa tiada penghantaran bekalan air melalui lori tangki atau tangki air statik di semua kawasan catuan kerana pelan catuan itu merupakan pelan yang menghadkan bekalan air mengikut jadual ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, pertimbangan untuk menghantar bekalan air kecemasan itu boleh dilakukan mengikut keutamaan seperti upacara kematian, kenduri, pusat dialisis, hospital kerajaan dan swasta atau di rumah-rumah kebajikan.
Justeru, pengguna turut diingati supaya mengelak daripada menyiram tanaman atau melakukan pengairan rumput secara berlebihan, membasuh kereta, menggunakan air untuk keperluan rekreasi seperti mengisi kolam renang atau menggunakan peluncur air, menggunakan pancuran hos air bagi menyiram kawasan kaki lima, halaman dan lain-lain kerja-kerja pencucian.
Katanya, pengguna diminta tidak melakukan perkara tidak bertanggungjawab seperti melakukan kerosakan terhadap fasiliti dan infrustuktur bekalan air Syabas termasuk pada jajaran paip kerana perbuatan itu mendatangkan kesan buruk kepada pengguna.
“Perbuatan sebegini adalah satu kesalahan di bawah Akta Industri Pembekalan Air 2006 dan boleh dikenakan penalti yang tinggi. Bagi mengetahui kawasan terlibat dan jadual catuan bekalan air, pengguna disarankan untuk melayari laman web www.syabas.com.my bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung pelan catuan yang dilaksanakan ini,” katanya.
Post a Comment