Home » » #MH370 ; Kini 25 Negara Bantu Malaysia

#MH370 ; Kini 25 Negara Bantu Malaysia

Written By Unknown on 17/03/2014 | 8:26 am


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kini disertai oleh 25 buah negara berbanding hanya 14 buah negara baru-baru ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia satu cabaran besar buat Malaysia dalam usaha menyelaras operasi berkenaan melibatkan jumlah negara sebesar itu.

“Seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) semalam, operasi kini memasuki satu fasa baru.. Operasi menyelamat kini lebih sukar melibatkan usaha pelbagai negara.

“Kawasan SAR kini sudah pun diperluaskan dan tujuan utama misi mencari juga sudah berubah.. Daripada misi mencari di kawasan perairan yang cetek, kita sekarang melihat ke kawasan muka bumi yang luas melibatkan sempadan 11 buah negara dan juga lautan dalam dan terpencil kepada dunia.

“Jumlah negara yang menyertai misi SAR kini juga meningkat..Daripada 14 buah kepada 25 buah negara yang membaca cabaran baru dalam penyelarasan dan diplomatik,” katanya dalam sidang media hari kesembilan kehilangan pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini.

Menurut Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, dalam tempoh 24 jam sebelum ini, Najib telah pun berinteraksi dan berhubung dengan beberapa pemimpin negara-negara yang terlibat dalam operasi SAR pesawat MH370.

Semalam, Najib dalam sidang medianya berkata operasi kini menumpukan pencarian sepanjang dua lokasi iaitu di Koridor Utara dan Koridor Selatan untuk menjejaki lokasi sebenar MH370.

“Perdana Menteri telah pun berhubung dengan Perdana Menteri Bangladesh, Presiden Turkmenistan, Presiden Kazahkstan dan Perdana Menteri India.

“Semalam, wakil Kementerian Luar Malaysia memberikan taklimat kepada wakil negara-negara di kedua-dua koridor berkenaan,” katanya.

Hari ini sudah masuk hari kesembilan pesawat MH370 yang pada awalnya dalam penerbangan ke Beijing pada awal pagi Sabtu 8 Mac lepas hilang dari radar.

Menurut perkembangan terbaru, sebuah syarikat satelit milik Britain telah mengesahkan menerima isyarat dikenali sebagai isyarat “handshake” dari pesawat MH370 dan ia kali terakhir di kesan masih di udara pada pukul 8.11 pagi Sabtu.

Hasil pemerhatian, pasukan penyiasat mengecilkan laluan terbang ke dua koridor berkenaan yang kini menjadi lokasi terbaru operasi SAR. – MYNEWSHUB.MY
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger