Hari ketiga Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 tidak akan diteruskan atas nasihat pihak berkuasa.
FMFA dalam satu kenyataan media memberitahu, konsert itu tidak diteruskan selepas mengambil kira keselamatan awam.
“Langkah ini juga bertujuan membantu siasatan pihak berkuasa. Maklumat mengenai pemulangan (wang tiket) akan diumumkan dalam masa seminggu.
“Pemilik tiket digesa supaya melayari laman web www.futuremusicfestival.asia untuk mendapatkan maklumat lanjut,” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, FMFA menafikan laporan seramai lima penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi maut.
Kenyataan itu sebaliknya mendakwa cuma seorang penonton disahkan meninggal dunia dalam festival muzik tersebut.
Menurut kenyataan itu, laporan polis telah dibuat dan penganjur akan berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menyiasat punca kejadian.
Mynewshub.my hari ini melaporkan acara muzik terbesar, FMFA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, mencatat tragedi apabila lima penonton konsert maut dipercayai kerana pengambilan dadah berlebihan.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmed Salleh kepada The Star, sembilan penonton turut ‘tumbang’ sekitar jam 1.30 pagi gara-gara mengambil dadah ketika menyaksikan konsert berkenaan.
Salah seorang penonton maut di tapak konsert manakala tiga yang lain ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Kelima-lima yang maut merupakan rakyat Malaysia berusia antara 21 hingga 28 tahun.
Empat individu dilaporkan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana dua daripadanya berada dalam keadaan koma dan kritikal.
Future Music Festival Asia yang berlangsung dari 13 Mac hingga 15 Mac 2014 membariskan lebih 70 bintang hebat dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa, antaranya Pharrell Williams dan Yuna.
Post a Comment