KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menegaskan beliau sanggup mempertaruhkan jawatan Menteri Besar, sekiranya perlaksanaan hukuman hudud di negeri itu memerlukan beliau berbuat demikian.
Menurutnya, Kerajaan Kelantan sememangnya komited dan buktinya beliau telah membangkitkan perkara itu semasa pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, November lalu.
“Saya gembira ada sepakat (pembangkang dan kerajaan) untuk menyokong ia dilaksanakan, ketika saya jumpa Perdana Menteri, saya sebut sedikit, di mana dipersetujui supaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) bincang dengan Jakim bagi meneliti halangan-halangan yang ada.
“Saya sanggup jumpa Perdana Menteri (sekali lagi) untuk membincangkan isu ini, walaupun saya rugi (dari segi politik) asalkan ia dapat dilaksanakan, saya tidak takut, kita benar-benar mahu laksana,” katanya semasa sesi penggulungan Sidang Dun, semalam.
Terdahulu, Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) ketika mencelah sesi soal jawab berkata, kerajaan negeri tidak mengambil sebarang usaha untuk bertemu pucuk pimpinan kerajaan persekutuan bagi membincangkan perkara itu.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri bertemu Perdana Menteri bagi berbincang mengenai pelaksanaan hukum hudud di negeri itu dan bukan sekadar memberi alasan politik kononnya kerajaan persekutuan tidak membenarkan hukum berkenaan dilaksanakan.
“Kalau tuntutan royalti yang kecil itu sahaja boleh dibawa ke peringkat pusat kenapa tidak dibincangkan pula mengenai hukum berkenaan agar boleh dilaksanakan di Kelantan dan bukannya mencari alasan untuk menyalahkan orang lain bila tidak melaksanakannya,” katanya.
Sementara itu, Exco Pembangunan Insan Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, halangan politik merupakan antara punca kerajaan Kelantan tidak berjaya melaksanakan hukuman hudud di negeri ini.
Menurutnya, surat daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas hudud diluluskan pada 1993 yang jelas menghalang perlaksanaan hukuman itu masih sah kerana ia dikeluarkan atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu.
“Sekiranya dilaksanakan hukuman itu, pusat ambil tindakan, itu dikira halangan politik, malah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kepimpinan kerajaan pusat ketika ini juga tidak membantu.
“Selain itu, undang-undang di negara ini juga tidak membantu Kelantan, sekiranya berlaku percanggahan undang-undang antara pusat dan negeri, maka undang-undang pusat akan diguna pakai, kita tidak diajar untuk melanggar undang-undang,” katanya.
Mohamed Fadzli kemudiannya mencadangkan agar anggota pembangkang menyertai kerajaan negeri mengadakan perbincangan itu di peringkat pusat dan perkara itu disambut baik oleh Alwi. – Sinar Harian Online
Post a Comment